Berkempenlah majukan negara, bukan sebar fitnah - Utusan Malaysia

Berkempenlah majukan negara, bukan sebar fitnah

AHLI politik diminta berkempen secara sihat tanpa melibatkan unsur fitnah ketika memancing undi rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENJELANG pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi, pastinya akan berlaku banyak penyebaran maklumat palsu terutama di media sosial yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seseorang yang didapati bersalah boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kajian mendapati kira-kira 20 juta pengguna internet di negara ini dengan 62 peratus daripadanya menggunakan media sosial dalam purata hampir lima jam sehari. Ini menunjukkan isu yang tersebar di internet akan merebak kepada hampir 200,000 orang hanya dalam masa satu jam. Kecepatan ini memberi impak terhadap keselamatan, keharmonian masyarakat dan negara.

Sejak akhir-akhir ini, didapati fitnah semakin berleluasa selain dijadikan alat kempen oleh parti politik memandangkan jumlah denda yang dikenakan mampu dibayar oleh mereka.

Dalam konteks ini, kerajaan kerap menjadi sasaran fitnah parti pembangkang dengan tujuan menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyokong dan mendukung kerajaan perpaduan yang kononnya mahu menukar Malaysia menjadi republik, menghapuskan raja berperlembagaan dan tidak mahu lagi Islam sebagai agama rasmi.

Malah, kerajaan turut dituduh melarang laungan kuat azan, menghentikan tilawah al-Quran, membenarkan anak hak mutlak memilih agama selepas 18 tahun, memansuhkan subjek Pendidikan Islam di sekolah, membubarkan Majlis Amanah Rakyat (Mara), mahkamah syariah dan Rejimen Askar Melayu Diraja, menyokong komunis serta lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ).

Disebabkan pelbagai tuduhan sebegini, beberapa pihak secara terbuka memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh itu, jika ada perkara dalam pentadbiran yang tidak setuju, maka kritiklah. Jangan berkempen berunsur fitnah, perkauman, penghinaan dan bercanggah dengan nilai Islam.

Berkempenlah untuk memajukan negara, menaikkan ekonomi dan mata wang yang jatuh teruk, bagaimana hendak menarik pelabur asing dan menurunkan harga barang. Itu lebih baik kerana menyentuh kepentingan semua rakyat. – UTUSAN

TAN DEWA SAKTI, Kampung Jeram, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya