JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) akan memberikan tumpuan dan menggerakkan jentera sepenuhnya bagi memastikan kemenangan gabungan itu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memaklumkan perkara itu selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi BN di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini malam tadi.
Katanya, kepimpinan tertinggi parti komponen BN bersepakat untuk memperkukuh parti, menjamin kestabilan politik negara, serta merangka strategi terbaik menghadapi kedua-dua PRN.
“Pengerusi BN Johor dan Negeri Sembilan telah berikan taklimat tentang persediaan menghadapi PRN di negeri masing-masing. Itu intipati utama mesyuarat malam ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tambah Menteri Pendidikan Tinggi itu, mesyuarat tersebut turut menegaskan komitmen BN untuk menyokong kerajaan perpaduan demi memastikan kestabilan negara, keyakinan, dan pelaburan dalam agenda pembangunan sehingga tamat penggal ini.
“BN juga telah memuktamadkan pendirian untuk bertanding dengan menggunakan logo dacing dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“BN akan terus memperkukuhkan kesatuan dalam parti komponen dan Friends of BN demi menjamin kestabilan politik dan membina pentadbiran yang diyakini rakyat,” katanya.
Zambry turut memberitahu, agenda keahlian terus BN akan diperkasa bagi menarik penyertaan golongan profesional, anak muda, dan masyarakat keseluruhannya.-UTUSAN










