Tidak sesuai aktifkan semula PLKN ketika ini

Tidak sesuai aktifkan semula PLKN ketika ini

PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu dikembalikan dengan penambahbaikan dan penelitian semula modul pelaksanaan agar lebih praktikal dan dipercayai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAJIAN yang teliti dan mendalam perlu dilakukan sekiranya kerajaan ingin mengaktifkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan mengambil kira keadaan semasa dikala seluruh dunia termasuk Malaysia masih bergelut untuk pulih daripada impak penularan virus Covid-19 dan masalah inflasi hingga menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan serta kos sara hidup meningkat.

PLKN dihentikan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dulu. Menurut Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekitar 2020, kerajaan PH terpaksa menghentikan program itu kerana melibatkan kos yang besar sekitar RM700 juta setahun. Maka, kerajaan wajar melupakan niat untuk mewujudkan semula PLKN sekiranya membabitkan jumlah peruntukan yang besar sebegini.

Ketika ini kerajaan tidak mampu menampung PLKN kerana peruntukan kewangan perlu disalurkan kepada golongan yang terjejas teruk akibat penularan virus Covid-19 serta masalah inflasi.

Sebaliknya jika masih ingin meneruskan juga hasrat melaksanakan kembali PLKN, maka kerajaan perlu memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen dan rakyat mengenai jumlah peruntukan kewangan sebenar yang ingin digunakan bagi menanggung dan menampung segala kos program itu.

Pihak kerajaan bukan sahaja perlu memberi penerangan mengenai sumber kewangan malah perlu mendapatkan sokongan majoriti dalam kalangan ahli Parlimen bagi memastikan cadangan pelaksanaan semula PLKN mendapat sokongan yang kuat dan menyakinkan.

Pihak kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan itu dengan lebih teliti dan mendalam. Jawatankuasa khas ini perlu terdiri daripada pihak yang memiliki pengalaman dalam melaksanakan program kesukarelawan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan belia, Kementerian Kewangan serta beberapa wakil ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang.

Sebarang keputusan yang bakal diambil perlu memberi keutamaan kepada kedudukan kewangan negara pada ketika ini serta perbelanjaan wang peruntukan terhadap sektor dan golongan yang lebih memerlukan perhatian.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.