Status Richards masih jadi tanda tanya

Status Richards masih jadi tanda tanya

Chris Richards
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHICAGO: Ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino mengesahkan pertahanannya, Chris Richards tidak dapat diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Jerman esok susulan kecederaan buku lali yang masih belum pulih sepenuhnya.

Pochettino turut meluahkan kekecewaannya terhadap perkembangan pemulihan pemain berusia 26 tahun itu yang disifatkan tidak menepati jangkaan awal pasukan.

Menurutnya, Richards yang kini beraksi bersama Crystal Palace merupakan tonggak skuad AS dan berpotensi membentuk gandingan utama di benteng pertahanan bersama kapten pasukan, Tim Ream menjelang kempen Piala Dunia.

“Dia sedang menjalani latihan, namun masih belum bersedia untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Kami akan terus memantau keadaannya dalam beberapa hari akan datang sebelum membuat keputusan muktamad mengenai statusnya,” katanya.

AS yang menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia dengan Kanada dan Mexico akan memulakan kempen menentang Paraguay di Los Angeles minggu depan.

Walaupun Richards telah disenaraikan dalam skuad kejohanan, peraturan FIFA masih membenarkan dia digantikan sehingga 24 jam sebelum perlawanan pembukaan.

Ketiadaan Richards menimbulkan kebimbangan terhadap kekuatan benteng pertahanan AS yang sebelum ini dilihat rapuh ketika menewaskan Senegal dalam aksi persahabatan minggu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, gandingan Tim Ream dan Mark McKenzie gagal memberikan persembahan meyakinkan apabila melepaskan dua gol kepada penyerang Senegal, Sadio Mane.

Richards tidak beraksi sejak perlawanan Crystal Palace menentang Brentford pada 17 Mei lalu dan hanya berada di bangku simpanan ketika final Liga Konferens UEFA pada 27 Mei.

Pochettino mengakui dia berasa kurang senang dengan maklumat yang diterima mengenai tahap kecergasan pemain itu sebelum pemilihan skuad dibuat.

“Ketika kami menamakan skuad, kami percaya Richards berpeluang beraksi dalam final Liga Konferens UEFA dan mungkin juga boleh diturunkan menentang Senegal.

“Namun tempoh pemulihannya menjadi lebih panjang daripada yang dijangkakan. Sudah tentu saya tidak gembira kerana dia merupakan pemain yang sangat penting buat pasukan,” katanya.

Tambah Pochettino, masa yang singkat sebelum sepak mula Piala Dunia menyebabkan pasukan perlu membuat keputusan terbaik demi memastikan semua pemain berada pada tahap kecergasan optimum.

“Jika kami terus menunggu, kami mungkin membawa seorang pemain yang tidak mempunyai minit permainan mencukupi dan itu boleh menimbulkan persoalan sama ada dia benar-benar bersedia untuk diturunkan.

“Tidak banyak masa yang kami ada menjelang Piala Dunia,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN