Kerajaan PN Perlis dipertahan hingga habis penggal

Kerajaan PN Perlis dipertahan hingga habis penggal

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri akan kekal mentadbir Perlis sehingga berakhir tempoh penggal selewat-lewatnya Disember tahun depan, di sebalik apa jua berlaku membabitkan hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, mandat yang diterima daripada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah melalui tiket PN, bukan atas kapasiti Pas atau Bersatu.

Katanya, ketetapan tersebut juga selaras titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu pentadbiran kerajaan negeri diteruskan tanpa sebarang spekulasi atau keputusan yang boleh merugikan rakyat.

“Biar apa pun yang berlaku antara Pas, Bersatu atau mana-mana komponen PN lain, kita akan kekal tenang bersama PN.

“Mandat ini kita dapat daripada rakyat Perlis melalui PN, jadi kita ambil ketetapan untuk sentiasa kekal bersama gabungan ini.

“Saya tidak akan buat sebarang spekulasi atau apa juga keputusan yang boleh merugikan rakyat. Titah Tuanku Raja Perlis adalah supaya kita habiskan tempoh penggal berbaki sehingga 30 Disember 2027,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, media melaporkan, keputusan sama ada Pas akan terus bekerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya dijangka diketahui Isnin ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, sebelum ini Majlis Syura Ulama sudah bermuzakarah mengenai isu berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa pusat parti itu untuk menentukan tindakan yang wajar diambil.

Dalam masa sama, Abdul Hadi juga mengesahkan pemimpin parti itu dan UMNO mengadakan pertemuan, ketika syor supaya Muafakat Nasional (MN) 2.0 dijayakan sedang hangat diperkatakan.

Sementara itu, Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi PN negeri berkata, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung soal kerjasama dua parti itu.

Beliau secara peribadi tetap berpendirian untuk terus istiqamah mempertahankan keutuhan kerajaan negeri di bawah bendera PN.

“Sama ada wujud permintaan supaya Bersatu keluar atau timbul masalah lain, kita akan buat keputusan apabila ia berlaku kelak.

“Namun bagi saya, kekal tenang bersama PN sehingga habis tempoh. Kita tidak menafikan ada beberapa kelemahan sama ada di pihak Bersatu mahupun Pas, tapi jika terus bercakaran, kita yang akan rugi kerana saya nampak PN kini sudah mula mendapat nadi untuk digerakkan bagi memenangi pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN