PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, pendirian itu selaras dengan kedudukan Bersatu sebagai parti komponen PN yang turut dianggotai Pas, Gerakan dan MIPP.
“Bersatu akan tanding menggunakan tiket PN, termasuk bersama Pas kerana Pas adalah parti komponen dalam PN,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas mengenai sokongan pengundi, beliau berkata, penerimaan masyarakat terhadap PN ketika ini dilihat semakin positif, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan bukan Melayu.
“Sokongan Melayu masih utuh bersama PN, malah keyakinan pengundi bukan Melayu turut bertambah.
“Dalam keadaan sekarang, ramai melihat faktor utama krisis PH dan BN kerana mereka dalam Kerajaan Perpaduan, dan ramai yang tertumpu ke arah itu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Hanifah berkata, rundingan pengagihan kerusi antara parti-parti komponen PN masih belum dimuktamadkan dan akan diputuskan selepas perbincangan lanjut diadakan.
“Perbincangan kerusi masih berjalan dan belum dimuktamadkan. Keputusan akan dibuat selepas perbincangan bersama parti-parti komponen PN,” katanya.
Mengulas perkembangan sama, ADUN Pas Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, sama ada bertanding menggunakan logo PN atau bergerak solo, pihaknya menunggu keputusan daripada Pas Pusat pada Isnin ini.
“Sama ada kita bertanding solo atau bersama PN, ia akan diputuskan oleh Pas pusat pada Isnin ini. Apa sahaja keputusan yang dibuat, kami akan akur,” katanya.
Jelasnya lagi, sehingga hari ini, Pas Negeri Sembilan tiada masalah untuk bekerjasama dengan Bersatu di negeri tersebut.
Katanya, banyak program yang dibuat secara bersama dengan Pas, sekaligus tiada masalah sekiranya bertanding menggunakan tiket PN.
“Tiada masalah antara Pas dan Bersatu Negeri Sembilan. Kita pun selalu berhubung dengan ADUN Labu. Cuma dalam hal ini, ada yang jadi kawan sebelum pilihan raya, ada juga yang mungkin berlaku sebaliknya.
“Jadi kita akan akur apa sahaja keputusan Pas Pusat,” katanya lagi. – UTUSAN










