MADRID: Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente yakin anak buahnya berada pada tahap terbaik untuk mengulangi kejayaan 2010 dengan menjuarai Piala Dunia musim panas ini, selepas kejayaan menawan Euro 2024.
Sepanyol kini memburu pencapaian luar biasa untuk menjadi antara negara terpilih yang pernah memegang gelaran Euro dan Piala Dunia secara serentak, selepas Jerman Barat, Perancis dan Sepanyol sendiri pernah melakukannya pada era berbeza.
Kejayaan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan kekal sebagai detik bersejarah buat La Roja apabila jaringan Andres Iniesta pada masa tambahan menewaskan Belanda 1-0 dalam perlawanan akhir.
Menjelang kempen Piala Dunia 2026, Sepanyol dijadualkan membuka saingan Kumpulan H menentang Cape Verde pada 15 Jun, sebelum berdepan Arab Saudi dan Uruguay.
Sebagai persediaan, Sepanyol turut mengadakan perlawanan pemanas badan menentang Iraq, kelmarin, namun keputusan yang dicatatkan tidak memihak mereka apabila terikat 1-1.
De la Fuente bagaimanapun mengingatkan bahawa cabaran kali ini lebih getir memandangkan banyak pasukan gergasi turut berada pada tahap terbaik.
“Kami masih perlu berusaha untuk memenangi Piala Dunia, tetapi saya percaya kami sudah bersedia.
“Ini adalah kejohanan yang sangat kompetitif dengan banyak pasukan berpeluang seperti Perancis, England, Argentina, Brazil, Maghribi, Portugal, Senegal dan Sepanyol sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, De la Fuente turut memberikan perkembangan positif mengenai pemain muda sensasi, Lamine Yamal, yang dijangka cergas untuk aksi pembukaan menentang Cape Verde selepas dia tidak diturunkan ketika menentang Iraq.
“Kami yakin Lamine akan bersedia menjelang 15 Jun, tetapi kami akan terus menilai keadaannya dari semasa ke semasa,” katanya. – AGENSI










