Naik OPR: Pastikan rakyat rancang perbelanjaan dahulu

Naik OPR: Pastikan rakyat rancang perbelanjaan dahulu

BNM akan mengadakan mesyuarat dasar monetari pertamanya bagi 2024 pada 24 Januari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENAIKAN kadar dasar semalaman (OPR) kepada tiga peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM), baru-baru ini menimbulkan kegusaran mengenai kesannya terhadap ekonomi negara terutama dalam kalangan rakyat.

Para pendukung peningkatan ini berpendapat, penjajaran semula OPR kepada kadar prapandemik adalah langkah berhemat demi menangani tekanan inflasi dan menjaga kestabilan kewangan. Malah, mereka turut menegaskan OPR lebih tinggi boleh membantu membendung aktiviti peminjaman berlebihan, mengelak gelembung aset dan menarik pelaburan asing.

Bagaimanapun, pengkritik pula berpendapat, pemasaan (timing) kenaikan OPR yang tidak selari dengan daya usaha pemulihan ekonomi oleh kerajaan sekali gus bakal melemahkan sentimen pengguna dan perniagaan.

Bahkan, mereka juga berpendapat, kenaikan OPR menatijahkan kos pinjaman lebih tinggi dan mengurangkan pelaburan swasta yang mampu merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, ia membebankan isi rumah dan perniagaan yang sedang bergelut dengan kadar keberhutangan tinggi yang kemudiannya bakal mengakibatkan peningkatan kemungkiran pinjaman.

Malahan, terdapat gesaan daripada pelbagai pihak terutama peminjam agar kerajaan membuat perancangan tahunan mengenai kenaikan OPR dan memaklumkan lebih awal supaya rakyat dapat merancang perbelanjaan.

Pada hakikatnya, kerajaan tidak mempunyai sebarang pemberatan atau kuasa untuk mempengaruhi dasar monetari negara kerana keputusan mengenai kenaikan (dan penurunan) OPR dikawal sepenuhnya oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM.

Dari sudut kebertanggungjawaban pula, MPC mahupun BNM bertanggungjawab kepada kerajaan khususnya Menteri Kewangan. Gabenor BNM melapor terus kepada Menteri Kewangan yang bertanggungjawab untuk menyelia dan memastikan BNM beroperasi dalam ruang lingkup mandat digariskan dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Bagaimanapun, BNM beroperasi pada tahap kebebasan dan autonomi yang tinggi, khususnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar monetari.

Kebebasan ini juga termaktub dalam Akta BNM 2009 yang memberikan kuasa kepadanya untuk membuat keputusan mengenai dasar monetari tanpa campur tangan kerajaan.

Bagaimanapun, BNM seharusnya mengambil langkah lebih proaktif dengan mempergiat usaha penerangan mengenai konsep asas OPR, tatacara penentuan OPR, kesan kenaikan (atau penurunan) OPR kepada rakyat terbanyak melalui kempen-kempen celik kewangan termasuk secara fizikal mahupun maya.-UTUSAN

DR. MOHD. ZAIDI MD. ZABRI
Fakulti Perniagaan & Ekonomi
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.