APABILA seorang penjawat awam ditahan kerana rasuah, penyalahgunaan kuasa atau ketirisan dana, berita itu pantas mencetuskan kemarahan dan kecurigaan masyarakat.
Namun, dalam hiruk-pikuk kecaman tersebut, ribuan penjawat awam yang menjalankan amanah dengan jujur dan berintegriti setiap hari seolah-olah tenggelam daripada perhatian.
Persoalannya, adakah rasuah benar-benar sudah membarah dalam perkhidmatan awam atau persepsi itu terbentuk kerana kes-kes berprofil tinggi yang mendapat liputan meluas?
Wartawan Utusan Malaysia, HASIF IDRIS, bersama jurugambar SADDAM YUSOFF, menemu bual Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), DATUK SERI NORIDAH ABDUL RAHIM bagi merungkai persoalan tersebut.
UTUSAN : Bagaimana budaya kerja berani menolak rasuah boleh dibentuk dalam kalangan penjawat awam?
NORIDAH : Cabaran terbesar dalam pengurusan integriti bukanlah kekurangan peraturan tetapi kewujudan budaya takut.
Ramai pegawai mengetahui sesuatu tindakan itu salah, namun tidak semua berani untuk bersuara kerana bimbang dikenakan tindakan balas, disisihkan atau terjejas peluang kerjaya.
Sebab itu, Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) memberi penekanan kepada pembentukan budaya organisasi yang mengutamakan keberanian moral dan akauntabiliti.
Organisasi perlu mewujudkan persekitaran yang membolehkan warga kerja bersuara tanpa rasa takut. Selain memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, agensi kerajaan perlu menjadikan budaya tampil bercakap sebagai norma organisasi.
Kepemimpinan tertinggi perlu menunjukkan teladan menegur kesalahan bukan tindakan mengkhianati organisasi tetapi usaha mempertahankan integriti organisasi.
Dalam konteks ini, IIM melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) sedang membantu organisasi membangunkan sistem pengurusan integriti yang lebih sistematik.
Organisasi juga digalakkan mendapatkan pensijilan seperti Sistem Pengurusan Integriti Korporat (CISM) dan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) bagi memastikan aspek tadbir urus, pengurusan risiko dan kawalan dalaman sentiasa diperkukuhkan.
Kenapa masih wujud persepsi integriti terhadap penjawat awam?
Persepsi berkait rapat dengan tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi awam. Berdasarkan kajian oleh IIM bersama-sama Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2025, kira-kira 30 peratus rakyat negara ini mahu institusi sektor awam melaksanakan program-program pengukuhan integriti agar persepsi masyarakat terhadap institusi awam menjadi semakin baik.
Namun, apabila berlaku kelewatan tindakan, ketidakkonsisten dalam penguatkuasaan atau kurangnya ketelusan dalam proses membuat keputusan, rakyat akan mula mempersoalkan integriti sistem secara keseluruhan.
Data Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara menunjukkan peningkatan pada 2025 dengan skor 52 mata dan berada pada kedudukan ke 54 daripada 182 negara berbanding kedudukan ke 57 dengan skor 50 mata pada 2024.
Walaupun berlaku peningkatan CPI 2025 hasil pelbagai usaha pembaharuan dilaksanakan kerajaan, skor ini menunjukkan masih terdapat ruang yang besar untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap integriti sektor awam.
Daripada perspektif IIM, isu lebih besar bukan sekadar rasuah semata-mata tetapi memulihkan kepercayaan. Sebab itu, NIES yang sedang diterajui oleh IIM memberi fokus kepada pembudayaan integriti secara menyeluruh melalui pendekatan Pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan Pendekatan Keseluruhan Masyarakat.
NIES dibangunkan dengan mengambil falsafah Pelan Integriti Nasional (PIN) yang digubal pada 2004. pelan ini menekankan pembudayaan integriti secara menyeluruh.
Integriti tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab sektor awam atau agensi penguat kuasa sahaja, sebaliknya perlu menjadi budaya nasional yang diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.
Dalam konteks ini, IIM mempergiatkan pelbagai program seperti Sambutan Bulan Integriti Nasional, Konvensyen Integriti Nasional, program Integrity Youth Ambassador (IYA), Modul Integriti Kanak-kanak (MIKA), Modul Integriti Keluarga (MIKe), Community Integrity Building (CIB) serta pelbagai inisiatif pendidikan integriti bagi membina kesedaran dan kefahaman masyarakat integriti bukan sekadar isu pematuhan tetapi soal nilai dan karakter bangsa.
Wujud campur tangan politik atau tekanan daripada pihak berkepentingan terhadap penjawat awam?
Dalam mana-mana negara demokrasi, tekanan daripada pelbagai pihak tidak dapat dielakkan. Ukuran sebenarnya adakah sistem mampu mempertahankan prinsip profesionalisme dan tadbir urus yang baik.
Apabila campur tangan mula mempengaruhi urusan perolehan, pelantikan, penguatkuasaan atau pemberian kelulusan tertentu, risiko integriti akan meningkat ketara.
Sebab itu, kerajaan melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS 2024-2028) memberi penekanan kepada reformasi institusi, pengukuhan tadbir urus dan peningkatan akauntabiliti sektor awam.
Penjawat awam perlu sentiasa berpegang prinsip neutral, profesionalisme dan akauntabiliti. Mereka berkhidmat kepada negara dan rakyat, bukan kepada mana-mana individu atau kelompok tertentu.
Paling penting adalah membina institusi kuat yang mampu menahan tekanan politik, ekonomi atau sosial. Sebaliknya, institusi yang lemah akan mudah dipengaruhi walaupun mempunyai individu berintegriti.
Selain rasuah, isu integriti lain paling kerap dilaporkan?
Ramai beranggapan integriti hanya berkaitan rasuah.
Sebenarnya skop integriti jauh lebih luas. Antaranya adalah konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa, salah guna aset kerajaan, pemalsuan dokumen, kebocoran maklumat rasmi, tuntutan palsu dan ketidakhadiran bertugas.
Isu-isu ini malah menjadi pintu masuk kepada perlakuan rasuah lebih serius. Sebagai contoh, kegagalan mengisytiharkan konflik kepentingan mungkin tidak melibatkan wang pada peringkat awal tetapi akhirnya boleh mempengaruhi keputusan organisasi dan menjejaskan ketelusan.
Selain itu, menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi, memanipulasi tuntutan perjalanan, menggunakan kemudahan kerajaan bagi tujuan persendirian, menyembunyikan konflik kepentingan, membocorkan maklumat dalaman organisasi atau mengamalkan pilih kasih dalam membuat keputusan juga merupakan pelanggaran integriti.
Malah budaya seperti ‘asal siap’, ‘tidak apa’, ‘semua orang buat’ dan ‘bukan kerja saya’ juga sebenarnya mencerminkan kemerosotan integriti kerja.
Bagaimana strategi mengembalikan kepercayaan masyarakat?
Kunci utama adalah ketelusan. Rakyat hari ini bukan sahaja mahu melihat tindakan diambil tetapi mahu melihat bukti tindakan tersebut dilaksanakan secara adil, konsisten dan tanpa pilih kasih.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan ribuan aduan diterima setiap tahun melibatkan unsur rasuah dan salah guna kuasa.
Ini menunjukkan sistem penguatkuasaan sedang berfungsi. Namun, keyakinan rakyat hanya akan meningkat apabila mereka melihat hasil nyata daripada tindakan tersebut.
Tiga keutamaan perlu diberi perhatian segera. Pertama, mempercepatkan reformasi institusi dan memperkukuh tadbir urus.
Kedua, memperluaskan penggunaan teknologi digital bagi mengurangkan ruang interaksi yang berpotensi mewujudkan risiko rasuah.
Ketiga, memperkukuh pendidikan integriti secara berterusan.
Atas sebab itu, IIM sedang memperluaskan pelaksanaan SPINE sebagai satu instrumen untuk menyemak status kesihatan integriti agensi awam serta memberikan cadangan rawatan bersesuaian.
Pembudayaan integriti perlu bergerak daripada pendekatan pematuhan kepada pendekatan keyakinan iaitu melakukan perkara yang betul kerana percaya ia betul, bukan kerana takut dikenakan tindakan.
Matlamat akhir NIES bukan sekadar melahirkan penjawat awam yang patuh peraturan tetapi melahirkan penjawat awam mempunyai kompas moral yang kukuh.
Apabila integriti menjadi budaya, maka kepercayaan rakyat akan kembali pulih. Apabila kepercayaan pulih, negara akan memiliki modal sosial cukup kuat untuk melonjakkan pembangunan ekonomi negara. –UTUSAN










