Memorandum damai AS-Iran mungkin dimeterai 14 Jun

Memorandum damai AS-Iran mungkin dimeterai 14 Jun

SEORANG lelaki mengibarkan bendera kebangsaan Iran ketika berdiri di hadapan iklan politik yang memaparkan Presiden AS, Donald Trump dan Selat Hormuz di Dataran Valiasr di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Satu memorandum antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menghentikan konflik antara kedua-dua negara dijangka ditandatangani seawal 14 Jun, menurut sumber yang dipetik Reuters.

Sumber itu berkata, Geneva muncul sebagai lokasi paling berpotensi untuk pemeteraian perjanjian berkenaan.

Menurutnya, kandungan memorandum itu masih dalam proses dimuktamadkan, manakala Iran tetap bertegas sebarang perjanjian perlu turut merangkumi penamatan pertempuran di Lubnan, yang menyaksikan Israel berdepan kumpulan Hizbullah.

Katanya, usaha sedang dilakukan untuk memuktamadkan teks perjanjian itu menjelang Ahad bagi membolehkan ia ditandatangani oleh Naib Presiden AS, J.D. Vance, dan Speaker Parlimen Iran, Mohammed Baqer Qalibaf.

Tiada lokasi pemeteraian ditetapkan, namun Geneva dilihat sebagai lokasi paling berpotensi.

Presiden AS, Donald Trump berkata pada Khamis, beliau membatalkan serangan baharu ke atas Iran kerana perjanjian itu sudah hampir dimuktamadkan.

“Kami baru sahaja mencapai satu penyelesaian besar terhadap perang dengan Iran,” katanya kepada wartawan.

Bagaimanapun, syarat perjanjian seperti yang dihuraikan pegawai Iran pada Jumaat dilihat menawarkan Teheran sebahagian besar daripada apa yang dituntutnya setakat ini.

Trump pula dilihat hanya memperoleh sedikit daripada matlamatnya, selain daripada pembukaan semula Selat Hormuz, yang sebelum ini ditutup oleh Iran selepas beliau mengarahkan serangan pada Februari.

Media negara Iran melaporkan pada Jumaat, Teheran tidak akan melepaskan kawalan ke atas selat tersebut.

“Iran tidak membuat sebarang komitmen dalam teks ini untuk menyerahkan pengurusan selat atau memulihkan keadaan seperti sebelum pencerobohan ketenteraan AS dan Israel,” menurut agensi berita rasmi IRNA, yang merujuk kepada ‘garis luas teks semasa’ yang sedang dimuktamadkan.

Seorang sumber kanan Iran memberitahu Reuters, draf perjanjian itu akan melibatkan penghapusan sekatan terhadap eksport minyak Iran, pembekuan semula berbilion dolar aset negara itu, serta menghentikan permusuhan di semua medan, termasuk di Lubnan.

Isu nuklear pula akan diketepikan untuk rundingan akan datang. Washington mahukan perjanjian bagi memastikan Iran tidak akan membangunkan senjata nuklear, manakala Iran menegaskan ia tidak berhasrat memilikinya.

Penghapusan sekatan, pembebasan aset Iran dan penghentian serangan Israel ke atas Lubnan adalah tuntutan utama Teheran. Sumber itu bagaimanapun tidak menyebut apa yang akan ditawarkan Iran sebagai balasan, dan Washington belum memberi sebarang respons segera.

Agensi berita Mehr Iran pula melaporkan, syarat tersebut turut merangkumi beberapa konsesi utama AS, termasuk komitmen untuk mengundurkan tentera Amerika dari sekitar Iran serta membentangkan pelan pemulihan ekonomi Iran yang musnah.

“AS dan sekutunya mesti mengemukakan pelan pembinaan semula Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion (RM1.2 trilion),” menurut laporan Mehr.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN