Jangan puas hati anugerah mesra pelancong Muslim - Utusan Malaysia

Jangan puas hati anugerah mesra pelancong Muslim

PELANCONG Muslim semestinya ingin melalui pengalaman pelancongan yang terindah ketika berada di negara kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA mendapat anugerah Destinasi Mesra Muslim Terbaik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2023.

Pencapaian tersebut mengukuhkan lagi kedudukan dan penjenamaan Malaysia sebagai peneraju segmen pelancongan Islam serta pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH) di peringkat serantau dan antarabangsa.

Namun, kita tidak harus berpuas hati dengan anugerah itu sehingga tidak melakukan pelbagai langkah penambahbaikan.

Ini kerana pada bila-bila masa, beberapa negara lain yang menjadi pesaing seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, Arab Saudi, Indonesia dan Mesir dapat mengatasi kedudukan kita.

Tambahan pula, terdapat peluang pasaran pelancongan mesra Muslim yang besar belum kita terokai sepenuhnya lagi dengan populasi umat Islam dianggarkan mencecah dua bilion orang di seluruh dunia.

Nilai pasaran pelancongan Muslim di seluruh dunia dijangka mencapai nilai kira-kira AS$300 bilion (RM1.4 trilion) pada 2026.

Seramai 2.12 juta pelancong Muslim ke negara kita pada 2022 dengan jumlah perbelanjaan pelancong sebanyak RM5.37 bilion.

Oleh itu, kita perlu melakukan penambahbaikan bagi menarik pelancong beragama Islam dari seluruh dunia yang ingin melalui pengalaman pelancongan terindah.

Pertama, Malaysia perlu terus meningkatkan kualiti infrastruktur seperti masjid serta memperbaiki dan memperluas kemudahan surau di hotel dan tempat awam supaya ia lebih selesa dan bersih.

Selain itu, penyediaan maklumat yang jelas dan mudah diakses tentang lokasi masjid dan surau, arah kiblat serta waktu solat akan memberikan keselesaan kepada pelancong Muslim.

Pelancong Muslim akan lebih selesa jika pengendali pakej pelancongan dan pemandu pelancong memahami tentang adab dan etika Islam, tuntutan agama seperti bersolat dan keperluan diet halal.

Kedua, makanan halal adalah salah satu faktor penting yang menarik pelancong Muslim ke Malaysia yang menyediakan bermacam-macam hidangan daripada pelbagai budaya dan tradisi.

Malaysia memiliki lebih 100,000 restoran dan kedai makanan halal. Selain itu, terdapat juga festival makanan halal dianjurkan di seluruh negara yang menarik pelancong Muslim dari seluruh dunia.

Oleh itu, kita perlu terus memperkuatkan status sebagai pengeluar makanan halal terkemuka. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan badan pengesahan halal lain perlu memastikan pematuhan terhadap piawaian halal dalam industri makanan dan minuman.

Memastikan sijil halal yang sah dan dipercayai adalah penting untuk memberikan keyakinan kepada pelancong Muslim tentang status halal makanan yang mereka nikmati semasa berada di Malaysia.

Ketiga, ketika kerajaan mengambil langkah berjimat cermat, promosi dan pemasaran Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim tidak wajar diabaikan.

Ini melibatkan penggunaan media sosial, laman web pelancongan yang dioptimumkan untuk pelancong Muslim serta kerjasama dengan pempengaruh dan personaliti terkenal dalam kalangan komuniti Muslim.

Keempat, Malaysia perlu terus mempromosikan negara ini sebagai destinasi mesra Muslim berasaskan seni, warisan dan budaya yang mempunyai banyak kaitan dengan Islam.

Pelancong Muslim dapat mengunjungi masjid-masjid ikonik seperti Masjid Putra di Putrajaya atau Masjid Negara di Kuala Lumpur termasuk melihat keunikan kaligrafi­ yang sering digunakan untuk menghiasi masjid.

Melalui pengalaman ini, pelancong Muslim dapat lebih memahami dan menghayati keindahan budaya Melayu yang mempunyai banyak pengaruh Islam. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MD. FAUZI AHMAD, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya