Pihak berkuasa dipermain PATI? - Utusan Malaysia

Pihak berkuasa dipermain PATI?

TIADA kesungguhan kerajaan untuk membanteras pendatang tanpa izin (PATI) menyebabkan Malaysia menjadi seperti magnet yang menarik lebih ramai warga asing untuk datang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Utusan Malaysia mendedahkan Pulau Meranti, Puchong, Selangor menjadi lubuk atau lokasi baharu pendatang asing tanpa izin (PATI) membina penempatan haram dan mengusahakan kebun selepas beberapa lokasi lain diserbu pihak berkuasa.

Di bandar pula, mereka berniaga di kaki lima kedai. Walaupun diserbu dan barangan perniagaan dirampas pihak berkuasa, beberapa hari kemudian mereka berniaga semula.

PATI ini lebih licik melarikan diri apabila tempat mereka diserbu pihak berkuasa dan boleh pula membuka penempatan baharu serta meneroka tanah haram untuk mengusahakan kebun sayur.

Jika beginilah keadaannya, kita dapati pihak berkuasa gagal dan dipermainkan oleh PATI dan keadaan ini berterusan sehinggakah bertukarnya kerajaan Malaysia Madani dan Kabinet baharu.

Banyak sudah pandangan serta teguran dalam akhbar dan media sosial tetapi nampaknya rungutan itu seolah-olah seperti anjing menyalak bukit.

Rakyat tidak nampak kesungguhan kerajaan untuk membanteras PATI dan tidak menghairankan peluang terbuka ini menjadikan seolah-olah Malaysia seperti magnet yang terus menarik mereka untuk datang ke sini.

Rakyat sudah muak, rimas, tertekan dan terkesan dengan PATI yang bertindak rakus menyentap keharmonian, cuba mengeksploitasi ekonomi dan kelihatan seperti kaduk naik junjung pula.

Rakyat tiada kuasa untuk bertindak melainkan sekadar membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Pendedahan oleh rakyat ini tidak ke mana untuk menghalang PATI kerana kuasa terletak di tangan agensi penguat kuasa yang sepatutnya bertindak lebih tegas, telus dan boleh diharapkan.

Kalau tidak, apa peranan agensi yang dipertanggungjawabkan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), imigresen, kastam dan sebagainya dalam menangani kebanjiran warga asing yang semakin menggila ini.

Jika agensi yang diamanahkan ini gagal dalam mengawal kebanjiran PATI, akhirnya nanti setiap pelosok negara akan dikuasai oleh warga asing dan ini sudah tentu menggugat kehidupan masyarakat.

Di pihak kerajaan, bertindaklah khususnya di peringkat ASEAN dan pertubuhan serantau lain supaya masalah PATI ini diselesaikan oleh negara-negara terlibat seperti Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan sebagainya.

Walaupun Malaysia adalah lubuk rezeki mereka, benarkan hanya yang mempunyai pas dan permit kerja untuk bekerja di negara ini.

Pastikan mereka tidak menjadikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan perkahwinan dengan rakyat tempatan sebagai tiket untuk tinggal lebih lama dan menjalankan perniagaan sesuka hati. – UTUSAN

SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya