HOUSTON: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sedang menjalankan aktiviti penerokaan minyak di Blok 52 luar pesisir Suriname, yang diisytiharkan berdaya maju secara komersial untuk pembangunan gas asli pada akhir tahun lalu susulan penemuan besar di kawasan berkenaan, kata Pengarah Urusan Staatsolie.
“Kami juga berharap dalam tempoh 18 bulan akan datang dapat mencapai pengisytiharan komersial bagi minyak,” kata Annand Jagesar kepada Reuters dalam temu bual telefon, merujuk kepada Blok 52.
Penemuan gas Sloanea di blok itu dijangka membawa kepada pembangunan berskala besar termasuk kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung sekiranya Petronas dan Staatsolie membuat keputusan pelaburan akhir (FID) yang positif lewat tahun ini.
Pengeluaran gas pertama dijangka bermula menjelang 2030.
Annand berkata, sekiranya minyak mentah turut didapati berdaya maju secara komersial, negara itu berpotensi menyaksikan pembangunan serentak projek minyak dan gas luar pesisir untuk eksport.
Suriname kini berada di landasan untuk memulakan pengeluaran minyak mentah luar pesisir pertamanya pada 2028 menerusi projek Gran Morgu bernilai AS$10.5 bilion (RM41.8 bilion0 yang dikendalikan oleh TotalEnergies.
Bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti penerokaan, Staatsolie menawarkan pusingan pelesenan terbuka meliputi lebih 70,000 kilometer persegi merentasi lima sektor luar pesisir.
Tawaran itu membolehkan syarikat mengemukakan program kerja dan mendapatkan kontrak perkongsian pengeluaran atau perjanjian kajian bersama untuk meningkatkan data seismik yang tersedia.
Tambah beliau, Suriname dijangka dapat menarik tiga hingga empat pelabur yang berminat untuk beroperasi di kawasan berkenaan menerusi tawaran itu, yang akan dibuka sekurang-kurangnya selama dua tahun. – AGENSI









