KOTA BHARU: Taktik licik menjadikan kawasan pulau terpencil di sekitar Badang di sini sebagai ‘makmal’ memproses dan menyimpan air ketum terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) kelmarin.
Serbuan berasingan menerusi Op Taring Mitra di sekitar Pulau Pisang dan Pulau Pak Mat itu membawa kepada rampasan keseluruhan berjumlah RM58,930.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Husain berkata, serbuan pertama kira-kira pukul 1.30 petang di Kampung Pulau Pisang suspek yang terlibat dengan kegiatan tersebut bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua buah perahu bersama enjin galah, tong gas, periuk memasak, 119 kilogram (kg) daun ketum serta 46 bungkusan air ketum.
“Sekitar pukul 3 petang, PGA menyerbu lokasi kedua di kawasan semak Pulau Pak Mat. Hasilnya, kita berjaya menahan dua lelaki tempatan yang sedang memproses dan membungkus air ketum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang ditahan itu dipercayai bekerja secara separuh masa memproses air ketum dengan menerima upah harian sebelum dijual sekitar RM10 sebungkus.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif Methamphetamine manakala seorang lagi negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kegiatan tersebut dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu dengan modus operandi memproses dan menyimpan air ketum di kawasan pulau bagi mengaburi pihak berkuasa,” ujarnya.-UTUSAN









