PETALING JAYA: Tidak berlaku sebarang perbincangan membabitkan kerjasama di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz malah berkata, kerjasama itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana Bersatu adalah antara parti yang pernah meruntuhkan kerajaan PH pasca Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Tidak benar. Tidak pernah dibincangkan dalam Biro Politik, Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) atau mana-mana perbincangan tidak rasmi di dalam parti.
“Jika ada sebarang usaha ke arah itu, sudah tentu ada tanda atau bayangan gerakan atau operasi ke arah itu. Misalnya seperti yang terjadi kepada gerakan Akuan Bersumpah (SD) oleh pengikut Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Setakat ini tidak ada bunyi-bunyi ke arah itu. Tidak masuk akal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Tun Faisal berkata, setakat ini Bersatu tidak ke arah mengambil pendekatan seperti UMNO yang bekerjasama dengan PH.
Beliau turut mempertahankan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali iaitu bekas Menteri Besar Selangor itu tiada kaitan dengan tindakan pembersihan dalam Bersatu kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin.
“Lembaga Disiplin melaksanakan tugasnya seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Bersatu untuk bertindak ke atas mereka yang melanggar perlembagaan dan disiplin parti, mengkhianati parti, berunding secara haram dan tanpa mandat dengan pihak luar dan kesalahan disiplin yang lain.
“Bukan semua yang dipecat. Ada yang digantung dan ada juga yang diberi amaran. Tiada kaitan dengan Mohamed Azmin. Beliau tidak melanggar perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti,” katanya. – UTUSAN









