Jadikan pasar karat tarikan pelancongan - Utusan Malaysia

Jadikan pasar karat tarikan pelancongan

PASAR karat yang menawarkan jualan barangan terpakai dan lama boleh dipromosikan sebagai tarikan pelancong. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INDUSTRI pelancongan adalah salah satu sektor utama dalam ekonomi Malaysia. Pada 2019, industri itu menyumbang sebanyak RM86.14 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah pelancong antarabangsa lebih 26 juta orang.

Menurut data Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), industri pelancongan di Malaysia menyumbang lebih 3.5 juta pekerjaan pada 2019.

Namun, Covid-19 menyebabkan industri pelancongan terjejas teruk. Jumlah pelancong ke Malaysia pada 2020 turun sebanyak 83.4 peratus berbanding 2019. Oleh itu, sektor pelancongan perlu bangkit sebagai destinasi pelancongan yang menarik dalam memperkukuh ekonomi negara.

Dalam menghasilkan daya lonjakan dalam industri ini, tahun 2025 telah ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan sasaran ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dan unjuran pendapatan sehingga RM76.8 bilion.

Selain itu, cabaran yang dihadapi ialah persaingan dari destinasi pelancongan yang lain di rantau Asia Pasifik. Destinasi seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam juga menawarkan tempat pelancongan yang menarik.

Negara kita menawarkan pelbagai tarikan pelancongan termasuk kawasan semula jadi seperti pantai yang indah, gunung, hutan hujan tropika dan tasik yang menakjubkan. Sebagai contoh, Pulau Sipadan telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 destinasi menyelam terbaik di dunia.

Promosi yang agresif perlu dilakukan oleh MOTAC melalui pelbagai program pemasaran. Langkah ini boleh dibuat kerana dalam Belanjawan 2023, kerajaan telah memperuntukkan RM250 juta untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Informasi pelancongan berbentuk digital yang komprehensif perlu juga diwujudkan seperti Facebook, laman web dan Instagram supaya maklumat lengkap dapat diakses dengan mudah dari mana-mana sahaja.

Dalam pada itu, Malaysia berpotensi menjadikan pusat beli-belah salah satu tarikan yang popular dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia bagi meningkatkan ekonomi negara.

Menurut laporan tahunan Indeks Runcit Global 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-24 sebagai destinasi membeli-belah utama di dunia. Pusat beli-belah di negara kita menawarkan pelbagai jenis barangan seperti pakaian, kasut, kosmetik dan barang elektronik dengan harga berpatutan.

Selain itu, pelancong juga dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang berbeza seperti pasar malam, pasar tani dan pasar karat.

Konsep pasar karat yang menawarkan jualan barangan terpakai, barang lama dan barang antik yang melibatkan peniaga yang bukan sepenuh masa elok dipromosikan sebagai tarikan pelancong.

Selain itu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Cabaran ini termasuk masalah infrastruktur yang kurang memuaskan. Sebagai contoh, destinasi pelancongan yang terletak di kawasan pedalaman memerlukan jalan raya yang selesa.

Sehubungan itu, langkah kerajaan menyediakan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk melaksanakan projek bagi menyelesaikan isu kesesakan jalan raya yang telah menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong perlu disambut baik. Antaranya, membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands.

Selain itu, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak bas pelancong dan menaik taraf kemudahan pengangkutan dalam bandar seperti mewujudkan sistem rel metro dan tren laju di beberapa kawasan.

Kesimpulannya, untuk terus bersaing, kita perlu memperbaiki kualiti perkhidmatan, meningkatkan kemudahan infrastruktur dan mewujudkan produk pelancongan yang menarik. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MD. FAUZI AHMAD, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya