Sukarnya berurusan dengan ibu pejabat Felda - Utusan Malaysia

Sukarnya berurusan dengan ibu pejabat Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA anak peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Ulu Tebrau di Johor. Ayah saya, Allahyarham Mahamood Sarjono semasa hayatnya merupakan seorang peneroka yang gigih.

Beliau bukan sahaja berkebun, malahan aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan demi kebaikan peneroka khususnya di tanah rancangan kami, juga peneroka Felda secara umumnya.

Hasil kegigihannya itu, beliau dilantik sebagai wakil peneroka sehingga akhirnya menjadi Ahli Lembaga Pengarah Felda (1985- 2001).

Pada 1986, beliau menerima Anugerah Peneroka Jaya, iaitu anugerah peneroka cemerlang di peringkat negara.

Ayah bukan sahaja gigih mengusahakan kebun kelapa sawit empat hektar yang diperuntukkan Felda, malah berusaha untuk menambah pendapatan keluarga dengan menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Hasil usaha gigihnya itu, beliau mampu menyara keluarga dan mengumpul sedikit harta termasuk membeli sebuah bangunan kedai milik Felda yang ditawarkan kepadanya dengan harga RM20,000 pada 2006.

Ketika itu, bangunan kedai itu sudah agak uzur dan memerlukan banyak kerja penambahbaikan yang menelan belanja agak besar. Selepas dibaiki, ayah kemudiannya menyewakan kedai itu dengan kadar RM500 sebulan.

Kadar sewanya tidak berubah hingga sekarang walaupun beliau meninggal dunia pada 2008 kerana memikirkan penyewanya adalah dalam kalangan warga Felda juga.

Pada 31 Mei 2022, kami sekeluarga terkejut apabila menerima surat daripada Pengurus Felda Ulu Tebrau yang mengarahkan agar kami membuka bangunan kedai itu dan mengosongkan kawasan tersebut.

Hal ini menurut pengurus tersebut kerana pertama, kami hanya membeli bangunan kedai sementara tanah adalah milik Felda.

Kedua, Felda telah menyokong dan meluluskan permohonan penyewa kedai kami itu untuk menggunakan lot kawasan tersebut bagi bengkel kimpalan besi dan kejuruteraan miliknya.

Ketiga, kedai itu disifatkan sebagai berada di kawasan tanah tanpa izin walaupun hakikatnya bangunan ini dibeli secara sah daripada Felda sendiri. Isu ini juga tidak pernah ditimbulkan sejak 17 tahun lalu ketika kedai itu dibeli ayah pada 2006.

Kami hairan, bagaimana Felda boleh meluluskan permohonan penyewa kedai untuk menggunakan tanah itu tanpa pengetahuan kami dan mengarahkan kami pula merobohkan kedai dan mengosongkan kawasan itu.

Sejak notis pengosongan itu, keluarga kami kehilangan pendapatan daripada hasil sewaan bulanan sejak September 2022.

Mesyuarat dengan Pengurus Felda Ulu Tebrau bagi menyelesaikan isu ini menemui kegagalan dan kami tetap diarahkan membuka bangunan dan mengosongkan kawasan pada 4 Januari lalu dan kemudian dilanjutkan sehingga 20 April ini.

Kami menulis surat sebanyak enam kali kepada ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu ini dan memohon ihsan Pengarah Besar Felda.

Sekiranya bangunan kedai tersebut memang perlu dibuka dan kawasan tanah dikosongkan, sekurang-kurangnya ada sedikit pampasan yang diberikan kepada kami sebagai ganti rugi.

Sehingga surat ini ditulis pada 18 Mac lalu, kami belum menerima apa-apa maklum balas daripada ibu pejabat Felda terhadap isu terpencil yang dihadapi oleh orang-orang kecil waris peneroka atau generasi kedua dan ketiga seperti kami.

Kami mengharapkan sedikit pertimbangan dan budi bicara pihak pengurusan Felda untuk memberi perhatian dan maklum balas terhadap isu-isu sebegini yang barangkali juga boleh dialami oleh waris peneroka lain. – UTUSAN

DR. MULIYADI MAHAMOOD, Felda Ulu Tebrau, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.