PRO sektor awam jangan abai komunikasi bersemuka - Utusan Malaysia

PRO sektor awam jangan abai komunikasi bersemuka

MASYARAKAT hari ini lebih kritis dan kadangkala bersikap agresif dan radikal dalam melontarkan pandangan melalui pelbagai platform media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

REPUTASI sesebuah kementerian atau jabatan kerajaan mempunyai kaitan rapat dengan peranan dimainkan oleh bahagian perhubungan awam (PR). Sebagai ‘jantung’ atau bahagian penting organisasi, PR sektor kerajaan mampu meningkatkan imej kementerian dan jabatan.

Ini bermakna peranan dimainkan oleh pengamal PR yang biasanya dari segi perjawatan dikenali sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) bertanggungjawab membina imej dan reputasi organisasinya pada kedudukan yang dilihat baik dan cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat atau rakyat.

Justeru, hampir kesemua kementerian dan agensi kerajaan hari ini meletakkan tanggungjawab besar kepada jentera PR dan menjadikannya sebagai hierarki terpenting dalam struktur organisasi mereka.

Hakikatnya, agensi kerajaan masa kini sangat memerlukan amalan PR yang dinamik, cekap dan efektif. PR kementerian atau jabatan kerajaan yang efektif atau berkesan mampu menarik perhatian, penerimaan dan kerjasama awam atau kumpulan sasar agensi kerajaan yang akhirnya akan memudahkan pemasaran maklumat dan produk atau perkhidmatan agensi kerajaan terbabit.

Ia sekali gus dapat meningkatkan imej perkhidmatan kerajaan dan paling penting, ia berupaya menarik sokongan rakyat terhadap apa yang mahu dilaksanakan kerajaan.

Dalam pada itu, keupayaannya berkomunikasi dengan baik melalui pelbagai saluran media termasuk penggunaan medium media sosial sangat penting dalam membentuk keyakinan kumpulan sasar mengenai mesej, produk atau perkhidmatan yang mahu dipasarkan kepada masyarakat secara keseluruhan.

Pengamal PR sektor awam mesti menyedari bahawa pengaruh teknologi maklumat secara signifikannya memainkan peranan penting dalam mencorakkan pemikiran awam.

Masyarakat hari ini lebih kritis dan kadangkala bersikap agresif dan radikal dalam melontarkan pandangan terhadap pelaksanaan dasar dan program kerajaan.

Media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok menjadi saluran paling popular masyarakat melontarkan pandangan dan kritikan. Ia menjadi cabaran besar kepada pengamal PR untuk memberikan kefahaman serta membetulkan segala persepsi negatif yang dilontarkan itu.

Penyampaian mesej harus mudah diakses, jelas dan mudah difahami serta menepati denyut nadi atau hati nurani masyarakat. Keupayaan menggunakan media dengan berkesan, sama ada media konvensional ataupun media sosial sangat mempengaruhi kejayaan pembangunan reputasi dan imej kerajaan.

Satu perkara yang mesti diingat oleh PRO sektor awam ialah walaupun abad ke-21 ini ‘komunikasi maya’ menjadi penting, namun komunikasi bersemuka tetap mempunyai kelebihan tersendiri.

Seorang penulis buku dari Amerika Syarikat (AS) yang berjaya meramal dengan tepat kebangkitan China, John Naisbitt pernah menyebut tentang konsep menekankan keseimbangan antara teknologi tinggi dengan komunikasi bersemuka sesama manusia. Menurut beliau, komunikasi bersemuka mampu meninggalkan kesan mendalam berbanding perhubungan secara maya.

Justeru, PRO sektor awam mesti sentiasa bersikap positif, tidak berfikiran sempit, bersedia menyumbang idea kreatif dan merangsang pengaliran idea untuk dimanfaatkan oleh organisasi demi mencapai visi dan misi organisasi serta menjaga reputasi kerajaan Malaysia Madani. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya