Hubungan baik dengan dunia, politik stabil jamin bekalan tenaga negara – PM

Hubungan baik dengan dunia, politik stabil jamin bekalan tenaga negara – PM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIPITANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara luar dan kestabilan politik dalam negara menjadi faktor penting dalam memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga global.

Perdana Menteri berkata, konflik antarabangsa yang berlaku ketika ini membuktikan bahawa soal keselamatan tenaga bukan lagi isu kecil kerana ia memberi kesan langsung kepada harga dan bekalan minyak serta gas di seluruh dunia.

Katanya, ketegangan di Asia Barat termasuk konflik melibatkan Israel dan Iran berpotensi menjejaskan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang menjadi antara laluan utama perdagangan minyak dunia.

“Apabila berlaku peperangan dan tempiasnya merebak ke negara-negara Teluk, bekalan tenaga boleh terganggu dan harga melonjak tinggi. Bukan setakat harga meningkat, malah bekalan juga tidak lagi terjamin.

“Kita lihat beberapa negara termasuk di rantau ASEAN berdepan gangguan bekalan sehingga ratusan stesen minyak terpaksa ditutup, manakala harga bahan api meningkat berkali ganda,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Madani Link di Dewan Lundayeh, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Anwar berkata, Malaysia bersyukur kerana masih mampu mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun berdepan tekanan kenaikan harga tenaga di peringkat global.

Katanya, kerajaan turut mengambil pendekatan bersasar dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel bagi memastikan golongan petani, nelayan, pengusaha bas sekolah dan sektor pengangkutan awam tidak dibebankan.

Di samping itu, beliau menjelaskan lawatan rasmi ke Russia dan Turkmenistan baru-baru ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik negara dalam sektor tenaga.

“Kerajaan Russia menganggap Malaysia sebagai sahabat dan memudahkan urusan berkaitan penjualan minyak dan gas kepada negara kita.

“Selepas Russia, saya ke Turkmenistan kerana negara itu juga sahabat Malaysia. Presidennya menyatakan kesediaan untuk membolehkan Petronas meneroka peluang kerjasama melibatkan antara telaga gas terbesar di dunia,” katanya.

Menurutnya lagi, kejayaan Malaysia memperoleh keyakinan negara-negara pengeluar tenaga adalah hasil dasar luar negara yang mengutamakan persahabatan dan hubungan baik dengan semua pihak.

“Kita baik dengan Amerika Syarikat, kita baik dengan China. Malaysia mengambil sikap bersahabat dengan semua negara.

“Pada masa sama, negara kita mempunyai politik yang stabil, tidak bergaduh kerana kaum atau suku kaum. Kita anggap semua rakyat sebagai satu keluarga besar dalam sebuah negara,” katanya.

Anwar berkata, kestabilan politik juga penting untuk menarik pelaburan dan memastikan kerajaan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan negara.

“Kalau politik tidak stabil, pelabur tidak akan datang. Kalau politik tidak stabil, sukar untuk kita memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Sebab itu saya sentiasa menegaskan bahawa hubungan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh demi memastikan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN