HULU LANGAT: Pemilik tanah penempatan haram pelarian Rohingya di Kampung Kenangan di sini memohon orang ramai menghentikan penyebaran gambar lama berkaitan kawasan berkenaan sebaliknya beri ruang kepada proses perobohan yang sedang dijalankan secara berperingkat.
Anak kepada pemilik tanah yang enggan dikenali berkata, kerja-kerja perobohan sebenarnya telah pun bermula di beberapa bahagian struktur, namun perkembangan itu tidak banyak ditonjolkan dalam imej yang tular di media sosial.
Katanya, sebahagian struktur di kawasan tersebut telah dirobohkan terlebih dahulu, manakala baki binaan lain sedang dalam proses pelaksanaan mengikut perancangan bersama pihak berkuasa.
“Sebenarnya di bahagian belakang sana sudah ada yang dirobohkan, tetapi perkara itu tidak dipaparkan.
“Gambar yang dikongsi kebanyakannya gambar lama tahun 2024, 2025 sebelum polis datang tangkap. Itu gambar lama. Sebenarnya dalam proses (perobohan), tapi mereka tak letak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi perobohan di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau kini sedang mendapatkan panduan daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi memastikan setiap tindakan perobohan dibuat mengikut prosedur yang betul.
“Semalam saya sudah pergi jumpa Pejabat Tanah. Mereka beri nasihat dan tunjuk ajar bagaimana hendak menguruskan perkara ini.
“Pegawai mereka juga datang beri panduan mengenai langkah yang perlu dibuat. Saya mahu lakukan perkara ini dengan cara yang betul,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut memohon maaf kepada orang ramai sekiranya berasa terganggu atau tersinggung dengan apa yang berlaku sebelum ini.
“Bagi pihak keluarga, saya memohon maaf kepada semua pihak atas apa yang berlaku.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani perkara ini mengikut saranan dan arahan kerajaan,” katanya.
Beliau menegaskan pihak kerajaan dan agensi penguat kuasa telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik melalui pemeriksaan, tindakan saman serta operasi berkaitan.
“Kerajaan memang buat kerja. Mereka datang buat pemeriksaan, keluarkan saman dan ambil tindakan yang perlu,” katanya.-UTUSAN










