Pintu terbentang luas untuk Hanis Nadiah buat rayuan

Pintu terbentang luas untuk Hanis Nadiah buat rayuan

HANIS NADIAH ONN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, pemain hoki negara, Hanis Nadiah Onn digantung dan tidak dibenarkan mewakili negara, namun tidak dinyatakan tempoh penggantungan itu.

Namun, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memutuskan keputusan penggantungan akan dinilai semula sekiranya Hanis Nadiah mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut.

Terdapat beberapa isu perundangan yang boleh dibincangkan susulan kes ini. Pertama, Hanis Nadiah digantung tanpa sebarang tempoh. Dalam aspek ini, hukuman yang diberikan adalah agak tidak jelas. Kehidupannya sebagai seorang atlet tentunya akan terjejas apabila tidak lagi dapat menikmati elaun yang diperoleh apabila menyertai kem skuad kebangsaan.

Malah ini bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan itu sendiri iaitu Artikel 5(1) berhubung kebebasan diri. Artikel 5(1) menyebut bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

Dalam kes ini, adalah tidak diketahui sama ada Hanis Nadiah telah mendapat kesemua hak-haknya.

Hanis Nadiah boleh membuat rayuan kepada jawatankuasa rayuan, namun sekiranya selepas keputusan daripada pilihan di atas tidak berjaya memuaskan hatinya, dia masih ada satu lagi pilihan iaitu untuk membuat rayuan berdasarkan peruntukan Seksyen 24 Akta Pembangunan Sukan 1997, yang menyebut jika terdapat sesuatu pertikaian yang tidak dapat diselesaikan  mengikut tatacara dalaman, mana-mana anggota sesuatu badan sukan boleh merujuk kepada Jawatankuasa Petikaian Sukan bagi mendapatkan keputusan.

Malah, sekiranya sekali lagi Hanis Nadiah tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Seksyen 24A memberikan peluang untuknya mempertahankan diri.

Seksyen ini menyebut bahawa mana-mana anggota badan sukan yang terkilan dengan keputusan Jawatankuasa Pertikaian Sukan boleh dalam masa 21 hari selepas keputusan itu disampaikan kepadanya, membuat rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan. Menteri kemudiannya mempunyai kuasa untuk mengesahkan atau mengubah keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pertikaian Sukan.

Melihat kepada pelbagai saluran rayuann yang ada, sudah tentu pintu terbentang luas untuk Hanis Nadiah membuat rayuan. Namun sebagai pemain profesional, dia tentunya ingin memberikan fokus 100 peratus kepada aksi di atas padang dan berjuang sehingga titisan keringat terakhir demi lencana di dada.

Dikhuatiri juga sekiranya proses rayuan ini akan mengganggu fokus utama Hanis Nadiah nanti.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. JADY ZAIDI HASSIM & ZAIRUL IZZAIN
Fakulti Undang-Undang
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya