Pemimpin Warisan keluar parti sertai Gagasan Rakyat

Pemimpin Warisan keluar parti sertai Gagasan Rakyat

MOHD. TAIB ISAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan di negeri ini menerima tamparan selepas beberapa pemimpin parti itu di pelbagai peringkat mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan tertinggi.

Kumpulan diketuai Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mohd. Taib Isai itu kemudiannya membuat keputusan menyertai parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) serta memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mohd. Taib berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa serta kegagalan kepemimpinan Warisan menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Semakin ramai pemimpin akar umbi kecewa kerana pandangan mereka tidak lagi diberikan perhatian selain beranggapan parti itu semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah.

“Oleh itu, keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya selepas menilai perkembangan politik semasa dan hala tuju perjuangan lebih sesuai untuk masa depan Sabah.

“Saya dan rakan lain melihat keperluan kepada sebuah wadah politik yang mampu menjamin kestabilan, perpaduan serta pembangunan berterusan untuk negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Warisan Bahagian Kota Belud juga mengakui kepemimpinan Hajiji berjaya mewujudkan kestabilan politik, menyatukan pelbagai pemimpin serta parti tempatan mengikut agenda pembangunan yang jelas.

Katanya, pendekatan inklusif yang sederhana oleh Hajiji turut memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mohd. Taib juga percaya perjuangan menerusi Gagasan Rakyat dan GRS lebih selari dengan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan pembangunan berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN