P.Pinang komited, mahu Silat Siku 12 dicalon sebagai Warisan Negeri

P.Pinang komited, mahu Silat Siku 12 dicalon sebagai Warisan Negeri

WONG Hon Wai (tengah) ketika hadir pada Majlis Perasmian Pameran Silat Warisan Pulau Pinang Siku 12 di Muzium Negeri Pulau Pinang, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha untuk mengangkat serta memartabatkan warisan budaya termasuk warisan tidak ketara seperti seni persilatan di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, warisan itu bukan sahaja perlu dipelihara, tetapi ia juga perlu didokumentasi dan diwariskan kepada generasi akan datang supaya tidak pupus ditelan zaman.

“Silat merupakan seni mempertahankan diri tradisional orang Melayu yang telah lama menjadi sebahagian daripada warisan budaya bangsa, seiring dengan perkembangan bahasa, adat dan kesenian.

“Silat juga bukan sekadar gerak langkah, tetapi mengandungi nilai adab, disiplin dan penghormatan yang membentuk peribadi seseorang.

“Oleh itu, saya mencadangkan supaya persatuan silat di Pulau Pinang mencalonkan Silat Siku 12 iaitu salah satu daripada cabang silat yang telah lama bertapak di negeri ini sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang secara rasmi,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) berkata demikian ketika merasmikan Pameran Silat Warisan Pulau Pinang Siku 12 di Muzium Negeri Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Pameran silat yang berlangsung dari 3 Mac lalu sehingga 17 Mei depan itu antara lain mengetengahkan manuskrip asal, falsafah latihan, sistem pergerakan serta aspek psikologi yang terkandung dalam catatan pengasas Silat Siku 12 iaitu Shaik Ghulam Meah Shaik Ahmad Meah atau lebih dikenali sebagai Mamu Dada.

Ia bertujuan memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh silat dan pewaris ilmu silat berkenaan khususnya Mamu Dada serta para murid terawal yang telah memainkan peranan yang penting dalam memelihara, mengembangkan serta memastikan kesinambungan Silat Siku 12 hingga ke hari ini.

Antara aktiviti sepanjang pameran itu pula termasuk Bengkel Seni Lipatan Tanjak, Forum: Sesi Bedah Manuskrip ‘Mamu Dada’, Podcast Silat Siku 12, Bengkel Cuci Keris, Bengkel Origami Kertas: Keris serta Bengkel Silat Siku 12.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN