Pemimpin Bersatu Besut letak jawatan beramai-ramai, sokong Team Reset

Pemimpin Bersatu Besut letak jawatan beramai-ramai, sokong Team Reset

WAN Ariff Rashiddin Wan Jusoh (tengah, hadapan) bersama pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Besut mengumumkan meletak jawatan dalam parti berkenaan di Besut, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Besut mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai daripada semua jawatan parti itu di peringkat bahagian, cawangan dan negeri berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatan itu diumumkan Ketua Bahagiannya, Datuk Wan Ariff Rashiddin Wan Jusoh dalam satu perjumpaan bersama kepemimpinan dan ahli parti tersebut di daerah ini, malam tadi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat secara sepakat susulan rasa kecewa terhadap beberapa tindakan pucuk pimpinan Bersatu yang didakwa gagal menguruskan konflik dalaman parti dengan baik.

“Kegagalan pucuk pimpinan Pusat khususnya Presiden parti dalam menyelesaikan isu melibatkan rakan komponen Perikatan Nasional (PN) menimbulkan perpecahan besar.

“Selain itu, isu pemecatan ahli Parlimen dan ahli Bersatu juga tidak diuruskan secara berhemah sehingga mencetuskan perpecahan dalaman yang menjejaskan parti,” katanya. 

Wan Ariff Rashiddin berkata, pihaknya akan memberikan sokongan kepada Team Reset sebagai wadah perjuangan politik baharu bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi meneruskan perjuangan politik mereka untuk membantu rakyat khususnya di Besut menerusi platform yang lebih baik dan diyakini.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan antara kedua-dua parti.

Keputusan berkenaan dicapai menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas yang turut memperakukan ketetapan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, gabungan PN memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu. Pecahan kerusi tersebut melibatkan parti komponen PN ketika itu menyaksikan Pas menguasai 27 kawasan dan Bersatu lima kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN