PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi di Pejabat Perdana Menteri Jepun di sini hari ini sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Ketibaan Anwar disambut oleh Takaichi sebelum kedua-dua pemimpin menyaksikan istiadat kawalan kehormatan yang turut diiringi lagu kebangsaan Malaysia dan Jepun.
Dalam majlis tersebut, Anwar diperkenalkan kepada anggota Kabinet Jepun serta pegawai kanan kerajaan negara berkenaan sebelum beliau memperkenalkan delegasi Malaysia kepada rakan sejawatnya itu.
Sejurus itu, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama termasuk kerjasama antara Malaysia dan Jepun serta perkembangan serantau.
Lawatan berkenaan merupakan kunjungan rasmi pertama Anwar ke Jepun sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November 2022, selepas sebelum ini melakukan dua lawatan kerja ke negara itu masing-masing pada tahun 2023 dan 2024. – UTUSAN










