PARIT BUNTAR: Amanah yakin akan diberikan kerusi yang berpotensi untuk dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan selepas rundingan pembahagian kerusi dimuktamadkan dalam Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi dalam PH kini hampir selesai dan akan diumumkan oleh kepimpinan gabungan itu dalam masa terdekat.
Menurut beliau, rundingan antara parti-parti komponen PH berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.
“Perkara paling penting ketika ini adalah memastikan kestabilan yang ditunjukkan oleh PH dalam menghadapi PRN.
“Yang penting adalah kestabilan yang ditunjukkan oleh PH dan pembahagian kerusi bukan isu utama kerana perkara itu akan diputuskan secara bersama oleh kepimpinan PH,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ditemui pemberita pada Program Ramah Mesra Madani bersama Nelayan Perak Zon Utara di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai sasaran Amanah pada PRN, beliau menegaskan parti itu hanya memberi tumpuan kepada kerusi yang mempunyai peluang kemenangan terbaik.
“Kita fokus kepada kerusi yang boleh menang. InsyaAllah. Jumlahnya sudah ada, ia akan diumumkan oleh PH,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan ke arah kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Fokus ketika ini adalah untuk memperkukuh kekuatan PH sendiri dalam menghadapi sebarang kemungkinan politik selepas pilihan raya.
“Setakat ini tidak ada apa-apa rancangan kerjasama dengan BN selepas PRN.” katanya. – UTUSAN










