Orang kolot sahaja tolak MRSM berbayar - Utusan Malaysia

Orang kolot sahaja tolak MRSM berbayar

DAKWAAN kewujudan MRSM berbayar bermakna kerajaan lari dari objektif asal penubuhan sekolah berasrama penuh itu untuk anak-anak golongan berpendapatan rendah adalah tidak tepat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMBINAAN Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan swasta bagi golongan berada yang disuarakan oleh Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini harus diambil perhatian khusus memandang perkara tersebut merupakan usul yang bernas dalam membina masyarakat Malaysia cemerlang.

Jadi, dalam menyatakan usul-usul membantah perkara berkenaan, tidak perlulah mengheret minda rakyat dengan isu-isu kononnya kerajaan cuba mengaut keuntungan daripada projek itu serta mengabaikan golongan bawahan sekali gus lari dari objektif asal penubuhan MRSM.

Malah, ada juga ahli politik yang menjalankan propaganda dengan bermain sentimen politik kebencian kononnya ketidaksempurnaan inisiatif kewangan swasta (PFI) dalam projek kerajaan sebelum ini, maka kita tidak harus teruskan saranan ini kerana cadangan MRSM kerjasama Mara dan swasta terbabit turut menggunakan kaedah PFI.

Kenapa terlalu kolot dengan mempunyai mentaliti ‘dulu kita gagal maka akan datang juga kita akan gagal’? Sebenarnya kewujudan institusi pembelajaran seumpama ini akan banyak lagi membantu golongan bawahan.

Ketika ini, sedarlah bahawa kita ada ramai lambakan anak-anak yang cemerlang pendidikan daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Dengan adanya pembinaan MRSM kerjasama Mara dan swasta seumpama ini, mereka ini tidak perlu lagi bersaing dengan anak-anak golongan berpendapatan tinggi (T20) yang lebih bernasib baik dari segi aspek kewangan serta perbelanjaan.

Bagi tujuan integrasi sosial, MRSM kerjasama Mara dan swasta ini boleh mengambil minimum 10 peratus anak-anak keluarga miskin yang dipilih berdasarkan merit dimasukkan ke MRSM berbayar ini dengan disediakan biasiswa pendidikan penuh yang ditaja oleh pihak syarikat sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bagi anak-anak T20 pula, memandangkan polisi ketika ini adalah mengutamakan anak-anak B40 ke MRSM atau sekolah berasrama penuh (SBP), maka tidak adil untuk anak-anak kita daripada golongan T20 yang juga mempunya keputusan cemerlang seperti rakan-rakan mereka, namun dinafikan hak hanya kerana mereka anak golongan berada.

Tidak mustahil sekiranya mereka juga akan memberontak memandangkan masih remaja. Ini kerana mereka juga berusaha keras dalam pembelajaran.

Pilihan yang ada bagi golongan terbabit ketika ini ialah sekolah berasrama swasta yang kebanyakannya tidak menawarkan silibus nasional sebaliknya menawarkan Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE) atau O-Level, dan akhirnya sekali lagi mereka dinafikan hak untuk menyambung pelajaran di universiti awam disebabkan tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, Mara juga mampu memberi penekanan lebih dalam ilmu-ilmu agama kepada anak-anak golongan T20 ini berbanding jika mereka bersekolah di sekolah swasta yang berasaskan silibus pendidikan Barat.

Namun, lebih baik MRSM kerjasama Mara dan swasta ini dipanggil Kolej MRSM Integrasi memandangkan institusi pendidikan ini memberi keuntungan kepada semua golongan khusus generasi pemimpin masa depan.

Jadi, tidak perlu diputar belit saranan ini dengan isu kononnya Mara akan menggunakan duit rakyat untuk kepentingan golongan T20 kerana kaedah PFI pelaksanaannya adalah secara bina pajak selenggara (BLM) atau bina pajak selenggara pindah (BLMT) yang mana tempoh konsesinya akan dipersetujui secara bersama antara Mara dan pihak swasta tersebut. – UTUSAN

KHALEEF IMRAN, Johor Bahru

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya