OTTAWA: Seorang bekas juruterbang syarikat penerbangan Air Canada berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa menerbangkan ribuan penumpang dalam ratusan penerbangan komersial tanpa memiliki lesen sah selama 17 tahun.
Pihak polis mendedahkan suspek yang dikenali sebagai Geoffrey Wall, 59, dari Ontario, dikesan memalsukan dokumen kelayakannya sejak beliau dinaikkan pangkat sebagai kapten pada 2009.
Suspek kini berdepan dengan beberapa pertuduhan berkaitan penipuan jenayah.
Susulan pembongkaran itu, pengurusan Air Canada mengesahkan juruterbang terbabit sudah digantung tugas serta-merta sebaik sahaja pemalsuan dokumen berkenaan dikesan pada tahun lalu.
“Pihak syarikat juga melaporkan perkara ini secara sukarela kepada pihak berkuasa pengangkutan, Transport Canada,” jelas syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Air Canada menegaskan aspek keselamatan penumpang sepanjang tempoh berkenaan sama sekali tidak terjejas memandangkan kesemua juruterbang mereka diwajibkan menjalani latihan kecekapan yang ketat setiap enam bulan.
Timbalan Ketua Polis Wilayah Peel, Nick Milinovich memaklumkan Wall sebenarnya telah berkhidmat dengan Air Canada selama 27 tahun, yang mana beliau memulakan kerjayanya dengan syarikat terbabit pada tahun 1998.
Bagaimanapun, helah suspek bermula pada 2009 apabila beliau dinaikkan pangkat sebagai kapten atau komander juruterbang.
Bagi melayakkan seseorang menyandang jawatan tersebut, mereka diwajibkan memiliki Lesen Juruterbang Pengangkutan Penerbangan (ATPL) yang memerlukan calon lulus beberapa siri peperiksaan bertulis.
CP24
“Situasi ini boleh diibaratkan seperti seorang doktor yang hanya mempunyai lesen untuk menjalankan amalan perubatan keluarga, tetapi bertindak melakukan pembedahan otak di kliniknya,” jelas Milinovich bagi menggambarkan tahap serius salah laku tersebut.
Pihak polis berkata, sepanjang tempoh 17 tahun lalu, Wall telah mengendalikan beberapa jenis pesawat komersial Boeing membabitkan keseluruhan 900 penerbangan domestik serta antarabangsa, selain meraih pendapatan mencecah jutaan dolar hasil daripada kelayakan palsunya itu.
Kes penipuan berskala besar ini mula dihidu pada tahun lepas semasa proses penilaian rutin dilakukan, yang mana pihak pengurusan mengesan beberapa keraguan dan ketidakselarian pada dokumen lesen milik suspek.
Penemuan itu mendorong kepada siasatan menyeluruh oleh jabatan pengangkutan persekutuan, Transport Canada.
Rentetan daripada siasatan berkenaan, Wall ditahan dan dihadapkan ke mahkamah pada 1 Jun lalu atas tujuh pertuduhan rasmi termasuk kesalahan menipu, memalsukan dokumen rasmi serta memiliki tanda atau cop palsu.-AGENSI










