Dua lelaki direman tujuh kes pukul warga asing di Marang

Dua lelaki direman tujuh kes pukul warga asing di Marang

DUA lelaki semasa dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi membantu siasatan kes memukul, merosakkan harta benda seorang pekerja kedai warga asing. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memukul warga asing dan merosakkan harta benda sebuah kedai runcit di Marang, dekat sini semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin selepas permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret di sini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kedua-dua suspek yang berusia 20-an itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian memukul seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun.

Kata beliau, polis daerah Marang menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pukul 7.25 malam semalam.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan suspek sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mangsa serta kerosakan harta benda.  

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya. kes turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya.

Kejadian tersebut tular dalam media sosial apabila beberapa rakaman video memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang.

Difahamkan, mangsa yang merupakan warga Bangladesh didatangi tiga lelaki tempatan yang kemudian bertanyakan status kewarganegaraannya.

Menerusi rakaman video berkenaan, suspek kemudiannya dilihat bertindak agresif dengan memukul mangsa selain merosakkan beberapa barangan di dalam premis berkenaan.

Difahamkan, mangsa tmengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan lengan sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN