Fenomena gelap paling lama dijangka Ogos tahun depan - Utusan Malaysia

Fenomena gelap paling lama dijangka Ogos tahun depan

GAMBAR fail gerhana matahari penuh yang disaksikan dari Nazas, Mexico. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Fenomena gerhana matahari penuh paling lama yang boleh disaksikan dari kawasan daratan bagi abad ke-21 dijangka akan berlaku pada 2 Ogos 2027, sekali gus memberi peluang kepada jutaan penduduk bumi menyaksikan suasana siang bertukar gelap gelita selama lebih enam minit.

Ketika fasa kemuncak, bulan akan menutup permukaan matahari sepenuhnya selama kira-kira 6 minit 23 saat, menjadikannya tempoh gerhana matahari penuh paling panjang direkodkan dari darat untuk abad ini. 

Peristiwa tersebut bakal merentasi beberapa buah negara antaranya Sepanyol, Maghribi, Algeria, Libya, Mesir dan Arab Saudi. Ia dijangka menarik kehadiran ahli astronomi, pemburu gerhana dan pelancong dari seluruh dunia.

Pakar sains menjelaskan bahawa tempoh luar biasa gerhana kali ini adalah hasil daripada penjajaran yang berlaku antara kedudukan planet bumi, bulan dan matahari. 

Penduduk yang berada dalam laluan fasa penuh itu akan merasai pengalaman langit bertukar gelap pada waktu siang, selain berpeluang melihat atmosfera luar matahari yang dikenali sebagai korona.

Secara umum, gerhana matahari berlaku apabila bulan melintas secara terus di antara bumi dan matahari, sekali gus melitupi cahaya dan memancarkan bayang-bayangnya ke permukaan bumi. 

Bagaimanapun, tempoh fasa penuh berkenaan sentiasa berubah-ubah bergantung kepada kedudukan semasa ketiga-tiga jasad samawi tersebut.

Berdasarkan data pengiraan yang dipetik daripada sumber gerhana agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan data yang diterbitkan oleh portal Eclipsophile, fenomena pada Ogos 2027 itu bertahan dalam tempoh yang sangat lama kerana kedudukan bulan dilaporkan berada agak hampir dengan bumi ketika kejadian

Ia menyebabkan saiznya kelihatan lebih besar di ruang angkasa.

Pada masa sama, bumi pula berada berhampiran titik aphelion. Bumi berada pada kedudukan dalam orbit. Ia berada pada jarak paling jauh dari matahari, sekali gus membuatkan saiz matahari kelihatan sedikit kecil daripada biasa. 

Kombinasi unik itu membolehkan bulan melitupi keseluruhan matahari bagi tempoh yang lebih panjang, sekali gus melanjutkan fasa gelap gelita sehingga melebihi enam minit.

Ahli astronomi menyatakan bahawa kedudukan sejajar yang sangat ideal seperti itu adalah sesuatu yang amat jarang berlaku, menyebabkan peristiwa gerhana dengan tempoh sepanjang itu sukar untuk disaksikan.

Laluan penuh fenomena alam ini dilaporkan akan bermula di ruang udara Lautan Atlantik sebelum bergerak merentasi selatan Eropah, Afrika Utara dan beberapa bahagian di rantau Asia Barat.

Mengikut data pengiraan rasmi astronomi, fasa gerhana penuh tersebut dijangka dapat disaksikan secara jelas dari sebahagian wilayah di Sepanyol, Gibraltar, Maghribi, Algeria, Tunisia, Libya, Mesir, Sudan, Arab Saudi, Yemen dan Somalia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN