Mahasiswa bebas politik bukan bermakna tiada batu sempadan - Utusan Malaysia

Mahasiswa bebas politik bukan bermakna tiada batu sempadan

KEBEBASAN ruang dan peluang berpolitik yang diberikan mesti didukung bersama tanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA pandangan saya, pemerkasaan mahasiswa bukan hanya berlaku melalui gerakan mahasiswa dalam konteks kebebasan berpolitik. Lebih besar daripada itu, bagaimana mahasiswa boleh menimba sebanyak mungkin pengalaman kehidupan yang bermakna sepanjang keberadaan di kampus.

Pengalaman inilah yang akan menjadikan mahasiswa itu lebih bersedia ke dunia realiti di luar bersama nilai kehidupan diperlukan.

Hasrat ini sebenarnya terkandung dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyebut agenda pemerkasaan mahasiswa menjadi salah satu daripada 11 fokus utama beliau di kementerian pada tahun ini.

Melalui perutusan tersebut, beliau menegaskan, pemerkasaan mahasiswa akan memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan.

Di peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM), saya menyambut baik apabila Menteri Pendidikan Tinggi menggunakan istilah tanggungjawab, bukannya hak. Tanggungjawab memberi ingatan kepada mahasiswa bahawa mereka mempunyai amanah dan tuntutan yang perlu digalas sebaik mungkin.

Pemerkasaan itu bukan satu perkara baharu kerana barisan kepimpinan mahasiswa sentiasa diberikan keutamaan dan kepercayaan oleh pihak universiti khususnya Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Sebagai contoh, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diberi ruang untuk hadir ke mesyuarat senat, penglibatan sesi libat urus dalam mesyuarat pengurusan, pengendalian program berimpak tinggi dan pelbagai lagi. Kepercayaan ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh kami untuk membawa suara mahasiswa.

Saya percaya, perkara ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa dalam kita menyahut amanat menteri dalam agenda pemerkasaan mahasiswa.

Dalam perkembangan lain, pemansuhan Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dilihat memberi lebih ruang kepada pelajar universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik mengikut sistem demokrasi.

Kebebasan ruang dan peluang berpolitik yang diberikan mesti didukung bersama tanggungjawab. Pun begitu, perlu diingat, bebas berpolitik bukan bermaksud tiada batu sempadan yang menjadi asas teguran dan bimbingan.

Mengenai pemansuhan AUKU secara menyeluruh, ia perlu dikaji dengan lebih terperinci. Kerisauan utama adalah pemansuhan AUKU secara menyeluruh mampu menjejaskan tadbir urus universiti awam terutamanya sewaktu peralihan. – UTUSAN

MUHAMMAD IZUAN FAIZ ABDUL RAHMAN, Yang Dipertua MPP UUM Sesi 2022/2023

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.