Kecewa belanjawan guna idea lapuk - Utusan Malaysia

Kecewa belanjawan guna idea lapuk

RAKYAT marhaen mengharapkan sesuatu yang lebih daripada Anwar Ibrahim ketika beliau membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETELAH meneliti Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan pada 24 Februari lalu, jelas kelihatan ia masih menggunakan idea-idea lapuk apabila banyak bergantung kepada pihak pemilik modal dengan kebanyakan insentif dan pelaburan diberi kepada syarikat-syarikat swasta.

Kepercayaan yang diberi ini mendedahkan pekerja kepada mana-mana keputusan untuk kepentingan syarikat-syarikat swasta itu sendiri termasuk membayar gaji lebih rendah dan mengekang kebebasan bersuara.

Pemberian insentif untuk syarikat menggaji rakyat miskin, golongan kurang upaya (OKU) serta ibu-ibu yang ingin kembali bekerja kelihatan seolah-olah menormalisasikan diskriminasi terhadap mereka.

Tumpuan kepada ekonomi gig dalam belanjawan ini berpotensi mengembangkan diskriminasi kerana pekerja dalam sektor ini antara yang paling ditindas dengan gaji tidak tetap serta kekurangan hak seperti yang wujud dalam sektor lain.

Kerajaan Malaysia harus membuat pindaan kepada Akta Kerja 1955 secepat mungkin supaya pekerja-pekerja sektor ekonomi gig terbela.

Dalam pada itu, Skim Jaminan Kerja perlu diwujudkan supaya setiap orang yang ingin bekerja dijamin akan diberi sesuatu pekerjaan oleh kerajaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada jawatan kosong yang disediakan syarikat-syarikat swasta.

Ini dapat dilakukan dengan mewujudkan pelbagai jawatan dalam sektor pekerjaan sosial, penjagaan warga emas serta kanak-kanak, penyelidikan, ekonomi hijau dan pertanian.

Model ini memberi jaminan kepada semua yang tiada pekerjaan bahawa mereka akan mempunyai mata pencarian walaupun tiada kekosongan jawatan yang sesuai di sektor swasta.

Pada masa sama, satu persaingan dengan pihak swasta dapat diwujudkan sekali gus dapat mengelak mereka mengambil kesempatan daripada orang ramai yang tiada pekerjaan untuk menawarkan gaji dan faedah pekerjaan rendah.

Jika syarikat swasta inginkan pekerja, mereka perlu meningkatkan tawaran supaya lebih lumayan daripada yang ditawarkan kerajaan sendiri melalui Skim Jaminan Kerja.

Dalam pada itu, amat mengecewakan apabila kerajaan tidak melupuskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepertimana yang pernah dijanji oleh Pakatan Harapan (PH).

Anak muda kini terbeban oleh pelbagai jenis hutang lain seperti sewa beli kenderaan dan hutang ibu bapa bagi membiayai pendidikan yang kini menjadi tanggungjawab mereka untuk membayarnya.

Pendekatan terlalu mudah kerajaan ini bukan hanya melibatkan ekonomi, malah langkah-langkah memupuk keharmonian dan perpaduan juga.

Aktiviti-aktiviti yang disyorkan seperti liga sukan, pertandingan kebudayaan dan gotong-royong, walaupun berpotensi mewujudkan hubungan baik tidak akan menyelesaikan permasalahan antara komuniti dalam negara ini yang memerlukan usaha lebih besar lagi.

Secara keseluruhannya, belanjawan kali ini tidak begitu berbeza daripada bajet sebelumnya. Idea-idea lapuk masih diagungkan walaupun ada ura-ura kerajaan perpaduan akan memperkenalkan pendekatan lebih progresif.

Cukai barangan mewah dan kajian terhadap cukai keuntungan modal patut dipuji, tetapi rakyat marhaen mengharapkan lebih daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN

ARVEENT KATHIRTCHELVAN, Brickfields, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.