Jangan bergantung masa depan kepada politikus - Utusan Malaysia

Jangan bergantung masa depan kepada politikus

RAMAI mengundi Pakatan Harapan (PH) dengan niat untuk menghalang Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) daripada memperoleh kuasa. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEADAAN politik di Malaysia, terutamanya akhir-akhir ini, berkisar bagi memilih gabungan politik yang kurang jahat berbanding yang lain, bukannya gabungan mana yang memang layak mendapat undi.

Ramai yang mengundi Pakatan Harapan (PH) berbuat demikian untuk menghalang Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) daripada memperoleh kuasa, bukannya atas sebab menyokong PH.

Kini, terutamanya selepas PH menerima BN sebagai rakan gabungan utamanya, malah bergerak pantas untuk memulihkan imejnya, sentimen dialihkan untuk menunjukkan gabungan PH-BN sebagai benteng menentang PN.

Sekali lagi, rakyat Malaysia terpaksa memilih gabungan yang kurang jahat, terutamanya apabila pilihan raya negeri (PRN) akan datang tidak lama lagi.

Kita yang marah terhadap kes rasuah Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa berdepan dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pengaruhnya dalam UMNO diperkukuhkan selepas pengecualian yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail daripada PKR untuk menghalang pertandingan dua jawatan teratas UMNO.

Kita masih kekal dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perjanjian perdagangan bebas yang akan menjejaskan tenaga produktif tempatan terutamanya dalam sektor pertanian.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, juga dikenali sebagai akta ‘sakit hati’, masih terlalu luas interpretasinya, malah berpotensi untuk menyekat kebebasan bersuara.

Dalam hal ini, rakyat Malaysia harus berfikir seketika dan bertanya pada diri mereka sendiri, apakah yang mereka inginkan daripada kerajaan PH-BN sekarang? Kesemua ini kini dibenarkan untuk menghalang PN daripada berkuasa.

Tetapi apakah gunanya kuasa jika PH tidak boleh gunakan untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang perlu dan telah diperjuangkan sejak beberapa dekad lalu yang juga telah dijanjikan oleh pemimpin dalam kerajaan itu sendiri?

Rakyat Malaysia ditegah daripada menanyakan hal ini melalui momokan kebarangkalian kewujudan kerajaan PN. “Tiada pilihan lain selain kami”, PH dan BN seakan-akan berkata.

Menurut mereka, hanya ada satu cara rakyat Malaysia menggunakan kuasa politik, iaitu melalui pilihan raya dan hanya ada satu pilihan munasabah iaitu PH-BN.

Ini adalah satu pembohongan. Rakyat biasa boleh menggunakan kuasa mereka melalui pelbagai kaedah, terutamanya dengan mengorganisasi diri dalam kesatuan dan kumpulan solidariti untuk mendesak perubahan yang diperlukan.

Kaedah yang paling berkesan sudah tentunya melalui kesatuan di tempat kerja untuk berunding dengan majikan bagi memperoleh gaji dan keadaan kerja yang lebih baik.

Melalui organisasi sebegini, jika berlaku pertikaian, tindakan industri seperti mogok dan piket boleh dijalankan untuk memaksa majikan bertindak. Selain itu, individu-individu yang berkongsi fikiran yang sama harus bersatu dan membentuk rangkaian-rangkaian untuk memperjuangkan hak mereka sendiri.

Rangkaian sebegini boleh berskala besar, contohnya persatuan petani di Malaysia boleh merangkumi ribuan individu dengan perpaduan memberikan mereka kuasa yang besar untuk menuntut perubahan.

Persatuan-persatuan lain yang serupa, contohnya dalam kalangan penduduk flat kos rendah, pekerja ladang, pekerja tidak formal dan pelajar universiti juga boleh ditubuhkan.

Dengan cara ini, rakyat Malaysia tidak perlu menunggu kitaran pilihan raya seterusnya atau bergantung pada janji-janji wakil rakyat mereka semata-mata.

Inilah demokrasi, rakyat biasa dengan lantang dan tegas memperjuangkan keperluan-keperluan mereka, bukan sekadar berharap pada janji-janji kosong ahli politik. – UTUSAN

ARVEENT KATHIRTCHELVAN, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.