Cukai vape tidak jejas peniaga Melayu - Utusan Malaysia

Cukai vape tidak jejas peniaga Melayu

KEBANYAKAN kedai menjual produk vape di negara ini dimiliki dan diusahakan oleh orang Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMASA pembentangan Belanjawan 2023 pada bulan lalu, kerajaan mencadangkan duti eksais dikenakan ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik (vape).

Dalam pembentangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan sokongan terhadap dasar generasi penamat (GEG) seperti dipelopori bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Walaupun penggunaan vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya ia dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

Oleh itu, mengawal selia dan mengenakan cukai ke atas produk ini adalah satu langkah sangat bijak. Cadangan ini selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan telah diamalkan oleh banyak negara lain seperti Singapura, Thailand dan Australia.

Negara-negara ini telah melihat hasil positif dalam mengurangkan penggunaan vape dan kesan buruk yang terkait dengannya.

Selain itu, cadangan ini juga dapat membantu Malaysia meningkatkan hasil kerajaan. Semasa Covid-19 melanda, kerajaan membelanjakan wang ratusan bilion ringgit untuk membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan perniagaan kecil.

Akibatnya, rizab negara turun dengan mendadak. Ini ditambah dengan hutang negara yang kini mencecah RM1.3 trilion hasil ketirisan perolehan kerajaan terdahulu.

Pengenaan duti eksais ke atas produk vape membolehkan kerajaan meningkatkan sumber hasil yang boleh digunakan untuk program sosioekonomi negara seperti membina hospital, membaiki sekolah daif atau memberi bantuan tunai kepada B40.

Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Ini adalah satu langkah penting untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat dan menjamin akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti. Tetapi adakah ketelusan di KKM terjamin? Atau ia akan menjadi lubuk kontrak baharu?

Selagi terdapat takrifan yang jelas tentang jenis produk sama ada rokok konvensional, vape, tembakau yang dipanaskan, gula-gula getah nikotin dan lain-lain, saya yakin pelaksanaannya tidak akan menimbulkan banyak masalah.

Akta yang ada perlu betul-betul jelas dan terperinci. Jika tidak, kerajaan akan rugi pada masa hadapan. Satu aspek cadangan cukai ini yang sering diperkatakan adalah nasib peniaga vape yang kebanyakan kedai menjual produk itu di negara ini dimiliki dan diusahakan oleh komuniti Melayu.

Oleh itu, langkah ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu yang sudah sememangnya terhimpit pelbagai masalah ekonomi.

Tetapi sebenarnya pemilik kedai vape tidak perlu risau. Kawal selia kerajaan hanya akan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap industri ini dan memastikan keselamatan pengguna vape terpelihara.

Malahan pengenaan duti eksais mampu meningkatkan jualan produk-produk seperti vape dan tembakau yang dipanaskan.

Mengawal dan mengenakan cukai pada produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk vape adalah satu langkah sangat penting dalam memastikan kesihatan rakyat terjamin dan membantu Malaysia mengatasi masalah kewangan yang semakin mendesak.

Semua harus bermula dengan akta yang betul dan meliputi semua jenis produk tembakau dengan jelas. – UTUSAN

ABDUL MUTALIB MANAN, Kajang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.