Penilaian MQA bukan sambil lewa

Penilaian MQA bukan sambil lewa

AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) dihormati agensi akreditasi luar negara dan mereka memperakui kualiti program yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia.

SAUDARA PENGARANG,

USAHA dan inisiatif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam mengawal selia kualiti pendidikan tinggi di negara ini mendapat pengiktirafan badan akreditasi antarabangsa.

Berpegang pada prinsip tidak berkompromi dengan kualiti, MQA dihormati agensi akreditasi luar negara dan mereka memperakui kualiti program yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia.

Program yang mendapat pengiktirafan ataupun akreditasi MQA tidak menghadapi sebarang masalah untuk digunakan di dalam dan luar negara bagi tujuan sambung pengajian mahupun memohon pekerjaan.

Sebagai badan tunggal jaminan kualiti negara, MQA mempunyai kerjasama di serata dunia. Antaranya Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Mesir, Jepun, New Zealand, Australia, India, Indonesia, Turki, Laos, Sweden, Taiwan dan Singapura.

Terbaharu, MQA mendapat jemputan dari Oman menerusi Bahagian Antarabangsa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjalin kerjasama seterusnya memberi pengiktirafan dua hala.

Pegawai-pegawai MQA juga dijemput oleh negara serantau sebagai perunding dalam bidang jaminan kualiti.

Dalam dunia Islam pula, MQA turut memegang jawatan strategik apabila Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari dilantik menjadi presiden Association of Quality Assurance Agencies of the Islamic World (IQA).

MQA sentiasa meneroka mekanisme terbaik untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara menerusi kaedah relevan, misalnya menerusi pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel.

Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa seperti dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kini, MQA dalam proses mengkaji kesesuaian untuk mengalaksanakan 100 peratus pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian tanpa melalui kaedah pengajian terbuka dan jarak jauh (ODL).

Semua ini cerminan betapa negara luar memandang tinggi standard pendidikan tinggi Malaysia menerusi pelbagai inisiatif dijalankan MQA serta agensi lain di bawah KPT.

Perkara ini sekali sekala perlu ditonjolkan kepada umum supaya dapat menangkis sekelumit persepsi mengatakan MQA meletakkan syarat tidak munasabah untuk akreditasi program, walhal proses itu dilaksanakan supaya program ditawarkan IPT sentiasa berkualiti dan relevan.

Sekiranya penilaian dilakukan secara sambil lewa, mana mungkin program yang ditawarkan mencapai standard ditetapkan seterusnya pihak luar pun tidak mahu bekerjasama dengan kita.-UTUSAN

PROFESOR DATUK DR. MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Ketua Pegawai Eksekutif MQA

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN