PETALING JAYA: Kelompok jurutera perlu keluar dari kepompong dan memperkukuh hubungan rentas bidang serta industri bagi memacu inovasi yang lebih berkesan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, dalam era perubahan teknologi yang pesat, keupayaan jurutera untuk berhubung bukan sahaja sesama sendiri, malah merentas bidang dan sektor untuk menjadi pemangkin kepada inovasi sebenar.
“Kejuruteraan sejak sekian lama menjadi tulang belakang kemajuan negara menerusi pembangunan infrastruktur dan pelbagai pencapaian teknologi.
“Bagi mendepani cabaran masa depan seperti perubahan iklim, ekonomi digital dan pembuatan maju, Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada kecemerlangan individu semata-mata,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Ke-67 dan Malam Anugerah Institut Jurutera Malaysia (IEM) 2026 di sini malam tadi.
Lih Kang berkata, negara memerlukan ekosistem pengamal kejuruteraan yang lebih tersambung saling berkongsi ilmu dan bekerjasama secara lebih meluas.
“Dengan berkongsi pengetahuan dan berkolaborasi, anda menyediakan asas kepada pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya, beliau menyaksikan bagaimana bidang kejuruteraan memberi impak besar kepada masyarakat apabila digandingkan dengan teknologi semasa.
Ujarnya, antaranya adalah penyelidikan dan pembangunan tenaga hijau, pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri serta perancangan bandar mampan yang selari dengan visi Malaysia moden, berdaya tahan dan lestari.
“Masa depan negara bergantung kepada semangat serta kesungguhan generasi jurutera untuk terus melangkaui batas kebiasaan demi membina kehidupan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN










