SAUDARA PENGARANG,
SISTEM politik moden berasaskan demokrasi yang turut diamalkan di Malaysia menyaksikan undi menjadi kaedah utama untuk memilih pemimpin.
Doktrin demokrasi membuka ruang luas kepada semua hatta bekas banduan untuk bertanding dan menjadi pemimpin.
Dalam konteks lantikan individu ke institusi kerajaan yang diketuai oleh ahli keluarga, demokrasi memberi beberapa panduan.
Sungguhpun gaji, elaun atau kelayakan seseorang ahli keluarga itu boleh dijustifikasikan, ia tetap berbeza kerana lantikan itu melibatkan institusi yang berkaitan langsung dengan kerajaan.
Di sini, isu merit tidak timbul tetapi etika. Dalam konteks ini, pakar ekonomi, Profesor Emeritus Geoffrey M. Hodgson dalam Journal Economic Issues menyatakan, institusi ialah sistem aturan sosial yang mapan dan lazim yang menyusun interaksi sosial.
Memahami maksud institusi yang dinyatakan ini, dengan jelas kita dapati bahawa ia berkait langsung dengan urusan awam apatah lagi melibatkan institusi dalam kerajaan yang mana tidak terpisah dengan isu integriti.
Justeru, dalam situasi ini, bagaimana institusi awam/kerajaan boleh diyakini dan dilihat berintegriti oleh penjawat awam dan rakyat jika etika tidak diutamakan khususnya berkaitan elemen nepotisme dalam kepimpinan?
Nepotisme merujuk kepada perbuatan atau amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan sahaja.
Menolak sikap nepotisme bukan hanya dengan retorik kata-kata tetapi perlu dilihat dilaksanakan. Itulah integriti dalam kepimpinan politik.
Begitu lama persepsi dijual merata-rata mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menjadikan anaknya sebagai Perdana Menteri, semuanya kini lebur apabila beliau sendiri keluar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Kini, suka atau tidak, tiada siapa lagi boleh menuduh Dr. Mahathir mengamalkan nepotisme. Jadi, siapa sebenarnya yang mengamalkan nepotisme? – UTUSAN
MAHDZIR IBRAHIM, Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA)