ISKANDAR PUTERI: Malaysia boleh mencapai sasaran menjadi negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030 meskipun berdepan ketidaktentuan global disebabkan konflik Asia Barat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sehingga tahun lalu, ekonomi digital disasarkan mencapai sasaran 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Biarpun berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat, sektor ekonomi digital dijangka mencapai sumbangan 30 peratus kepada KDNK menjelang 2030.
“Setakat ini, kita masih berada di landasan tepat, tetapi perlu buat persiapan sekiranya ada sebarang kesan yang mungkin menjejaskan misi tersebut di masa depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Wilayah Selatan dI Menara IIB, di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan Malaysia giat melaksanakan Pelan Tindakan AI Kebangsaan bagi mencapai aspirasi menjadi Negara AI menjelang 2030, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur serta pelaburan mampan.
Aspirasi tersebut bukan hanya berkisar pada kemajuan teknologi, tetapi turut melibatkan pembinaan ekosistem menyeluruh yang menggabungkan dasar, bakat, infrastruktur, kepercayaan digital dan pelaburan strategik supaya Malaysia mampu muncul sebagai hab AI serantau.
Sementara itu, mengulas mengenai kesan konflik Asia Barat terhadap sektor digital termasuk pembangunan pusat data, Gobind berkata, ia masih diteruskan dan berada di landasan yang tepat.
“Ada juga projek yang sudah mula beroperasi dan ada yang dalam proses dibina selain ada yang masih dalam proses memuktamadkan perjanjian dan sebagainya. Jadi, ia diteruskan seperti biasa.
“Selain itu, kementerian turut mencadangkan MDEC mengadakan kolaborasi dengan pihak industri, agar dapat mengenal pasti teknologi baharu yang akan digunakan pada masa depan sekali gus melaksanakan persediaan untuk ke arah itu,” katanya. – UTUSAN










