PETALING JAYA: Seramai 21 ahli kumpulan kongsi gelap dipercayai aktif melakukan jenayah kekerasan di Sarawak ditahan dalam Op Pusak Merah, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, semua suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 44 tahun.
Beliau berkata, operasi menyasarkan individu yang aktif dengan jenayah gengsterisme sejak 2024 di sekitar Kota Samarahan, Kuching, Simunjan dan Padawan.
“Operasi dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi melumpuhkan sindiket yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemerasan, rusuhan serta serangan menggunakan senjata sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.
“Semua tangkapan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes merusuh, mendatangkan cedera parah, samun, khianat serta jenayah dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 20 April ini bagi membantu siasatan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat mengikut beberapa peruntukan Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 148 (merusuh dengan senjata), Seksyen 326 (cedera parah dengan senjata), Seksyen 384 (pemerasan), Seksyen 394 (rompakan hingga menyebabkan cedera), Seksyen 427 (khianat) dan Seksyen 436 (khianat dengan api atau bahan letupan).
“Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara antara lima sehingga 20 tahun, denda serta sebatan bergantung kepada kesalahan.
“Usaha mengesan dan menangkap beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan ini masih giat dijalankan,” ujarnya. – UTUSAN










