SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA mempunyai keunikan tersendiri, iaitu merupakan negara yang mempunyai pelbagai kaum, agama, keturunan, budaya, dan sebagainya. Keunikan inilah yang sepatutnya menjadi kebanggaan, bukan rakyatnya.
Sebagai rakyat, kita sering dipandang mulia oleh pihak luar sebagai sebuah negara berbilang kaum dan memiliki pelbagai kebudayaan. Jadi, amat tidak wajar sekiranya rakyat berpecah-belah hanya disebabkan perbezaan fahaman politik.
Tiada salah sekiranya kita menyokong mana-mana parti politik yang dianggap dapat memimpin negara ke arah lebih maju.
Namun, janganlah terlalu taksub sehingga mengeluarkan perkataan-perkataan kesat dalam media sosial dengan memfitnah atau memaki hamun individu atau bangsa.
Ingatlah, kita hidup dalam sebuah negara berbilang kaum dan perlu saling menghormati antara satu sama lain.
Ingatlah juga bahawa bukannya perkara mudah bagi pejuang-pejuang tanah air memperjuangkan kemerdekaan negara suatu ketika dahulu.
Janganlah kita berpecah-belah hanya disebabkan pihak-pihak yang tidak menghargai keamanan dalam negara. Cuba fikirkan, mengapa kita boleh duduk semeja dengan bangsa lain di kedai mamak untuk menonton Sukan Olimpik, tetapi perlu saling membenci hanya disebabkan kata-kata segelintir kumpulan kecil atau individu yang membangkitkan isu perkauman?
Hargailah keunikan dan keamanan yang dimiliki oleh negara ini. Jagalah adab ketika berbicara dan hormatilah budaya kaum dan agama lain. Kita hidup sebumbung di bawah satu payung yang harmoni dan umpama satu keluarga besar. Marilah kita bersama-sama memacu negara menjadi lebih maju dan sejahtera. Bersatulah kita, Bangsa Malaysia!-UTUSAN
ONG QI FEI
Fakulti Bahasa & Komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)