Benarkan ‘pesara’ bawah 55 tahun keluar KWSP - Utusan Malaysia

Benarkan ‘pesara’ bawah 55 tahun keluar KWSP

LULUSKAN pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekurang-kurangnya untuk pencarum mempunyai simpanan mencukupi dan sudah tiada punca pendapatan. – GAMBAR HIASAN/ ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 19 Januari lalu, beberapa media massa melaporkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu seorang ibu muda bersama dua anak kecilnya yang terpaksa menumpang di sebuah surau setelah dihalau dari rumah sewa berikutan tidak mampu membayar sewa akibat hilang sumber pendapatan.

Ia hanyalah secebis kisah daripada ribuan cerita penderitaan rakyat. Masih ramai yang hilang pekerjaan dan sukar mendapat pekerjaan baharu kerana faktor usia.

Natijahnya, ramai yang tertekan mental, ketakutan serta kemurungan teramat sangat bukan sahaja kerana sering ditagih hutangnya, bahkan bagi menyediakan sesuap nasi untuk keluarga pun mereka sudah tidak mampu.

Tidak kurang juga yang sudah ber­fikir untuk mengambil nyawa sendiri. Tegarkah para pimpinan negara untuk terus membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap semua kesulitan yang rakyat hadapi?

Luahan demi luahan sudah lama tersiar sama ada di media cetak atau media sosial, namun ia umpama mencurahkan air ke daun keladi.

Rakyat yang sedang bergelut dengan kesulitan hidup tidak minta dibantu dengan menggunakan wang cukai rakyat, mereka hanya perlukan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri.

Apakah hal ehwal rakyat yang cemas seperti ini pun masih perlu menunggu usul untuk dibawa dan dibahas di Dewan Rakyat?

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering bertanya, apa yang akan berlaku kepada pencarum apabila mereka pencen nanti?

Hakikatnya, ramai dalam kalangan pencarum sudah lama ‘dipencenkan’ walaupun mereka belum berusia 55 tahun kerana tiada sumber pendapatan.

Soalan lebih sesuai ditanya, apa yang telah dan akan berlaku kepada mereka dan keluarga ketika ini sekiranya pengeluaran simpanan KWSP tidak dibenarkan? Luluskanlah pengeluaran sekurang-kurangnya untuk pencarum mempunyai simpanan mencukupi.

Terdapat ramai kehilangan pekerjaan mempunyai simpanan mencukupi di dalam KWSP tetapi terpaksa mengemis ke sana ke mari, terpaksa berhutang dan terdesak memohon bantuan zakat hanya kerana wang KWSP mereka tidak dapat dikeluarkan.

Mereka seumpama digantung tidak bertali. Berilah mereka peluang untuk menyelesaikan masalah dengan wang KWSP sendiri.

Ia hanya dalam jumlah kecil kerana pengeluaran kali ini adalah untuk mereka yang benar-benar terdesak dan bukan pengeluaran pukal seperti sebelum ini.

Peruntukan Seksyen 55A Akta KWSP 1991 yang hanya membenarkan pengeluaran caruman setelah mencapai umur 55 tahun, eloklah dipinda kepada telah diberhentikan kerja atau telah bersara secara pilihan, mengikut mana lebih awal.

Insaflah, bukan semua rakyat di negara ini bernasib baik dapat bekerja sebagai penjawat awam yang hampir tiada risiko kehilangan pekerjaan, malah pendapatan mereka terjamin sampai mati! – UTUSAN

ZM SALLEH, Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya