Kenakan denda berjuta-juta ringgit jika sorok telur - Utusan Malaysia

Kenakan denda berjuta-juta ringgit jika sorok telur

telur
Telur ayam masih menjadi masalah di kebanyakan negeri yang didakwa kerap terputus bekalan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK kebelakangan ini, bekalan telur ayam di seluruh negara sering terganggu. Orang awam semakin sukar untuk mendapatkan bekalan telur ayam.

Tambahan pula, telur ayam menjadi keperluan isi rumah apabila beberapa jenis ikan mengalami kenaikan harga sejak awal bulan ini susulan musim Monsun Timur Laut.

Pelbagai andaian dibuat sama ada oleh pengeluar mahupun peniaga. Antaranya permintaan meningkat berbanding pengeluaran telur ayam yang semakin berkurang.

Selain itu, terdapat andaian menyatakan ramai penternak mahupun peladang mengecilkan saiz operasi ataupun menutup operasi kerana keuntungan diterima tidak tinggi dan tidak dapat menampung kos menternak ayam.

Bahkan terdapat penternak tidak mahu menanggung risiko untuk menternak kerana musim banjir yang melanda negara.

Sekiranya benar segala andaian di atas, kerajaan yang baru dipilih rakyat perlu merangka mekanisme terbaik dan mampan dalam menangani isu ini.

Sebaliknya jika isu ini disebabkan berlakunya monopoli dan perbuatan menyorok barangan kawalan, maka penguatkuasaan undang-undang perlu ditingkatkan.

Perbuatan menyorok barangan kawalan boleh menyebabkan ketirisan berlaku sehingga menimbulkan pembelian panik dalam kalangan orang awam.

Secara umumnya, telur ayam telah disenaraikan sebagai barang kawalan harga di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHHMP) semenjak 5 Februari lalu.

Kawalan

Mekanisme ini dilaksanakan untuk mengekang peningkatan harga ayam dan telur ayam secara mendadak di pasaran terutama selepas musim perayaan.

Apabila telur ayam diwartakan sebagai barang kawalan, undang-undang yang berkuat kuasa dalam menangani sebarang isu bekalan telur ayam ini ialah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Akta ini memperuntukkan sejumlah kesalahan dan hukuman sekiranya berlaku penyelewengan bekalan telur ayam.

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkaitan bekalan telur ayam jika sabit kesalahan pertama, mereka berdepan hukuman tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, hukuman tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Syarikat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.

Secara tuntasnya, kerajaan perlu sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan dalam negara mencukupi supaya harganya terus kekal stabil.

Selain itu, tindakan tegas perlu diambil sekiranya mana-mana pihak didapati gagal mematuhi undang-undang sedia ada.

Pengguna juga perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang salah laku berhubung gangguan bekalan makanan. – UTUSAN

DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN, Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.