Empat buruh didakwa bunuh, buang mayat OKU lembam tepi jalan di Bachok

Empat buruh didakwa bunuh, buang mayat OKU lembam tepi jalan di Bachok

EMPAT suspek tiba untuk prosiding perbicaraan sambil diiringi polis untuk proses pendakwaan di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua orang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di sebuah rumah di Kampung Binjai, Banggu di sini pada bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Hakim Zikrullah Mohd. Zamran, 25, dan Mohamed Eerman Daniel Mohamed Afrizal, 27, hanya mengangguk faham hadapan Majistret Rais Imran Hamid selepas pertuduhan selesai dibacakan oleh jurubahasa.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, di sebuah rumah di Kampung Binjai, Banggu di sini kira-kira pukul 11 malam pada 13 April lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Muhammad Hakim dan Mohamed Eerman bersama dua lagi rakan, Mohamad Areef Mohd. Zuki, 25, dan Mohamad Aiman Shah Mohd. Azizi, 26, yang juga bekerja sebagai buruh tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan keterangan dan menyembunyikan bukti dengan membuang mayat mangsa.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat lelaki itu didakwa mengetahui kesalahan bunuh melibatkan Muhammad Zakir Fikri dan membuang mangsa di tepi jalan dengan niat mengelakkan Muhammad Hakim dan Mohamed Eerman daripada dikenakan hukuman undang-undang.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Chap Bekelam dekat Bachok kira-kira pukul 3.30 pagi pada 14 April lalu.

Keempat-empat lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Kamilah tidak menawarkan jaminan kepada kesemua tertuduh kerana kes tersebut tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin selain menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Utusan Malaysia 18 Mei lalu melaporkan, dendam lama dipercayai menjadi motif utama kepada pembunuhan seorang lelaki OKU lembam yang ditemukan parah di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil siasatan yang dilakukan selepas mendapati tujuh suspek yang ditahan termasuk pasangan suami isteri yang berusia antara 25 hingga 52 tahun ipercayai mempunyai sejarah perselisihan faham dengan mangsa.

Terdahulu, 15 April lalu, seorang lelaki OKU lembam dilaporkan maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu.

Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, dekat sini selepas bertarung nyawa lebih 17 jam.

Sebelum itu, dia ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah di bahagian muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan kejadian pada pukul 7.30 pagi, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN