GUA MUSANG: Lencongan sementara di Kilometer (KM) 45Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau di sini, yang ditutup susulan kejadian runtuhan tanah di kawasan tersebut pada 3 Disember lalu dibuka semula esok .
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pembukaan laluan lencongan itu memulihkan semula jalan perhubungan antara negeri Kelantan, Pahang dan Perak.
Katanya, pembinaan laluan tersebut adalah hasil tindakan pantas susulan lawatan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 2 Februari lalu selepas meninjau keadaan jalan yang terjejas.
“Pembinaan laluan lencongan itu dapat disiapkan dalam tempoh singkat hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kementerian Kerja Raya.
“Pembukaan laluan berkenaan dijangka memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya serta menghidupkan kembali aktiviti ekonomi rentas negeri khususnya melibatkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik yang terjejas sebelum ini,” katanya.
Izani berkata, kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada kementerian berkenaan atas komitmen dan keprihatinan dalam memastikan isu perhubungan tersebut dapat diselesaikan segera.
Katanya, pengguna diingatkan bahawa laluan itu hanyalah bersifat sementara dan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan keselamatan serta memandu dengan cermat demi keselamatan bersama.
Terdahulu, pergerakan air bawah tanah dipercayai menjadi punca berlakunya runtuhan jalan di berkenaan.
Tanah runtuh itu juga menyebabkan seorang lelaki cedera apabila kereta jenis Proton Satria Neo yang dia pandu terjatuh ke dalam gaung beberapa jam selepas berlaku runtuhan. – UTUSAN









