Lima lelaki termasuk abang didakwa bunuh remaja 18 tahun - Utusan Malaysia

Lima lelaki termasuk abang didakwa bunuh remaja 18 tahun

LIMA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh seorang remaja berusia 18 tahun, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki dan empat rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh adik lelakinya dalam kejadian di kawasan kuil dekat Tanjung Rambutan, minggu lalu.

Tertuduh, S. K. Siri Sakti Vell, 22; K. Thiruchelvan, 33; Shashipal Singh Manmuhan Singh, 36; N. Thaneshwaran, 24; dan P. Ukenthiran, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas membunuh S. K. Kerisnan, 18, di kawasan berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Jalan Perpaduan Southward, Tanjung Rambutan dalam daerah Kinta antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi, pada 12 Mei 2026.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Julai depan sementara menunggu laporan perubatan dan bedah siasat.

Semalam, media melaporkan, perselisihan faham berkaitan kegiatan mencuri kabel dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki dibunuh sebelum mayatnya ditemukan dalam sebuah kereta, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Honda Accord sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati mangsa maut disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Siasatan lanjut mendapati, mangsa dibawa ke sebuah kawasan kuil di Tanjung Rambutan dan dipukul beramai-ramai menggunakan tangan, kaki dan beberapa objek tumpul,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN