UPM iktiraf kecemerlangan warga, 15 staf terima Anugerah Fellowship Naib Canselor pada MGP 2026

UPM iktiraf kecemerlangan warga, 15 staf terima Anugerah Fellowship Naib Canselor pada MGP 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menghargai kecemerlangan dan dedikasi warganya apabila 15 staf menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor sempena Majlis Gemilang Putra (MGP) 2026 yang berlangsung hari ini.

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen universiti dalam mengiktiraf prestasi cemerlang, sumbangan besar serta pengorbanan warga UPM sepanjang tahun 2025.

“MGP bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, tetapi platform rasmi universiti untuk menghargai jasa dan bakti warga kerja yang telah menyumbang kepada pembangunan UPM sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh warga universiti agar terus memupuk budaya kerja berprestasi tinggi, berintegriti dan penuh iltizam selaras dengan visi serta aspirasi universiti.

“UPM akan terus memainkan peranan sebagai universiti bereputasi antarabangsa melalui penglibatan aktif khususnya dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan di samping bidang strategik lain yang menjadi tujahan universiti demi masa depan negara dan tamadun manusia,” katanya.

Sementara itu, Pendaftar UPM, Muhazam Mansor, berkata majlis berkenaan menjadi simbol penghargaan universiti terhadap dedikasi dan komitmen warga kerja yang menjadi tunjang kekuatan institusi itu.

“Integriti perlu terus menjadi asas utama dalam usaha mengejar kecemerlangan dan produktiviti kerana kecemerlangan tanpa integriti tidak akan mampu bertahan lama.

“Integriti bukan sekadar pematuhan terhadap peraturan, malah mencerminkan maruah ilmu, kejujuran intelektual serta amanah dan tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.

Majlis Gemilang Putra merupakan acara tahunan berprestij UPM yang menghimpunkan pengiktirafan terhadap pencapaian warga universiti dalam pelbagai bidang termasuk pengajaran, penyelidikan, inovasi, perkhidmatan profesional dan pembangunan pelajar.

Pada majlis itu, Anugerah Khas Akademia Putra 2025 diterima oleh Profesor Dr. Amin Ismail daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan atas kecemerlangan menyeluruh dalam bidang akademik, kepimpinan dan pembangunan ilmu, selain menjadi pencetus inspirasi kepada warga akademik melalui budaya kerja positif serta sumbangan berimpak kepada negara dan dunia.

Bagi Anugerah Fellowship Naib Canselor (Pengajaran), kategori Pengajar Cemerlang (Sains Tulen) diterima oleh Dr. Tan Sin Tee daripada Fakulti Sains; kategori Sains Kesihatan oleh Profesor Madya Dr. Aneesa Abdul Rashid, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; kategori Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan oleh Dr. Sharon Ong Yong Yee, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMS; manakala kategori Sastera dan Sains Sosial diterima oleh Dr. Ilyana Jalaluddin, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

Bagi Anugerah Fellowship Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), kategori Penyelidik Cemerlang (Sains dan Teknologi) diterima oleh Profesor Madya Ts. Dr. Fakhrul Zaman Rokhani daripada Fakulti Kejuruteraan manakala kategori Penyelidik Muda (Sains dan Teknologi) diterima oleh Profesor Madya Dr. Leong Sui Sien, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMS.

Kategori Penyelidik Muda (Sains Sosial) pula diterima oleh Dr. Anitha Roslan daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, manakala kategori Penerbitan Makalah Jurnal (Sains dan Teknologi) diterima oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Hafiz Abu Bakar, Fakulti Kejuruteraan, kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Profesor Madya Ts. Dr. Norhayu Asib, Fakulti Pertanian dan kategori Penerbitan Buku, Profesor Madya Dr. Clare Chan Suet Ching, Fakulti Ekologi Manusia.

Bagi Anugerah Fellowship Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional Akademik diterima oleh Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pusat Pembangunan Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar.

Anugerah Fellowship Naib Canselor (Perkhidmatan Profesional) kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Akademik) diterima oleh Profesor Dr. Ismi Arif Ismail, Fakulti Pengajian Pendidikan manakala kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional Pentadbir diterima oleh Dr. Nor Asma Ab Razak. Institut Biosains.

Anugerah Fellowship Naib Canselor (Perunding Cemerlang) pula diterima oleh Profesor Dr. Ina Salwany Md Yasin, Fakulti Pertanian.

Pada majlis sama, seramai 563 pegawai UPM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan prestasi cemerlang mereka dalam memperkukuh kecemerlangan universiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN