KALABAKAN: Seekor gajah Pygmy Borneo yang mengalami kecederaan di bahagian belalai dikesan dipercayai berada di kawasan Felda Kalabakan Selatan di sini.
Usaha menyelamatkan gajah berkenaan sedang giat dijalankan susulan video tular di laman sosial memaparkan kecederaan yang dialami haiwan itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, aduan berhubung gajah itu diterima minggu lalu sebelum operasi pencarian dan pemantauan lapangan dijalankan pada 13 dan 14 Mei.
“Ketika Sabah masih berdepan kes kematian seekor gajah Borneo di Tongod yang sedang disiasat, saya turut bimbang dengan satu lagi kes membabitkan gajah cedera yang dipercayai berada di kawasan Felda Kalabakan Selatan.
“Bagaimanapun, gajah berkenaan belum ditemui sepanjang operasi, sekali gus menyebabkan intervensi menyelamat belum dapat dimulakan.
“Tindakan lanjut bergantung kepada maklumat baharu, penampakan semula atau laporan tambahan yang diterima dari lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, maklum balas awal pasukan veterinar mendapati kecederaan pada belalai adalah sangat kompleks dan tidak boleh ditangani hanya dengan rawatan luka segera.
Katanya, sekiranya gajah itu berjaya dikesan dan memerlukan rawatan lanjut, pasukan penyelamat mungkin perlu melakukan pembedahan untuk membuang tisu rosak atau membina semula otot belalai yang koyak.
“Prosedur itu perlu diikuti penjagaan pasca-pembedahan yang rapi, rawatan harian, pengurusan pemakanan, penyediaan ruang kurungan sementara dan pemantauan berterusan selama satu hingga dua minggu.
“Sekiranya prosedur pembinaan semula atau penyambungan semula belalai dipertimbangkan, kebarangkalian untuk pulih sepenuhnya dan mengembalikan fungsi normal belalai adalah sangat rendah,” katanya.
Jafry berkata, berdasarkan pemerhatian awal menerusi video, luka di bahagian belalai gajah itu menunjukkan tanda penyembuhan walaupun penutupan luka tidak ideal.
Katanya, keadaan gajah itu setakat ini juga tidak menunjukkan tanda jangkitan serius yang boleh mengancam kelangsungan hidupnya.
Mengulas berhubung punca kecederaan, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan setakat ini.
Katanya, jerat adalah antara kemungkinan yang sedang dinilai, namun ia belum disahkan sebagai punca utama kecederaan.
“Pihak berkuasa turut meneliti kemungkinan lain, termasuk kecederaan akibat objek tajam.
“Antara kemungkinan yang sedang disiasat ialah kecederaan akibat terkena alat penuaian yang digunakan di ladang kelapa sawit, khususnya jika peralatan tersebut tertinggal atau tersangkut di kawasan ladang.
“Pemantauan rapi oleh renjer lapangan di bawah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah kini sedang diteruskan bagi mengesan semula gajah terbabit,” katanya.
“Gajah Pygmy Borneo adalah antara spesies hidupan liar ikonik Sabah dan menjadi sebahagian penting warisan alam sekitar negeri ini.
“Dianggarkan terdapat sekitar 1,500 hingga 2,000 ekor gajah Borneo di Sabah ketika ini. – UTUSAN










