ALOR SETAR: Polis menemukan sebilah pisau rambo di dalam sawah dipercayai digunakan suspek yang menikam leher ibu tunggal dalam kejadian di dalam kereta di Titi Gajah, Sabtu lepas.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pisau itu ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian setelah dipandu arah oleh suspek sendiri.
“Jadi, ini adalah sesuatu yang positif untuk siasatan polis dalam kes ini,” katanya semasa sidang akhbar sempena Pelupusan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Menyentuh perkembangan mangsa, kata Adzli, wanita berusia 35 itu dilaporkan stabil setelah menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Dalam pada itu, beliau menafikan wujud sentimen pilih kasih dalam siasatan membabitkan anggotanya yang dikaitkan dengan kes pengedaran dadah di Langkawi.
Menurut Adzli, siasatan ke atas anggota terbabit masih diteruskan walaupun setelah ditukarkan serta-merta ke daerah lain.
“Ada kandungan kurang enak di media sosial mempertikaikan tindakan ini dengan menyatakan ‘oh tukar sahaja’. Tetapi saya mengingatkan bahawa polis tidak bersikap pilih kasih atau melindungi anggota yang terlibat. Siasatan masih diteruskan dan jerat tidak lupakan pelanduk.
“Kita tukarkan dia tidak bermakna kita melindungi atau menyelamatkan dia. Tindakan dan siasatan masih berjalan. Saya tidak boleh dedah tetapi saya berjanji akan beritahu apa hasilnya nanti,” katanya.
Beliau berkata, polis menjalankan siasatan dalam kes berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan secara telus.
“Kita buat beberapa serbuan namun barang kes tiada dalam tangan dan tidak dijumpai. Saringan air kencing terhadapnya, bukan secara berkala juga dua kali negatif. Kita serbu rumah dia dan periksa pejabatnya setakat ini negatif,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, individu dikenali sebagai ‘Bagok’ yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Langkawi akan didakwa mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Langkawi, esok. – UTUSAN










