LONDON: Pemandu teksi hitam dikenali sebagai Black Cab di London yang sebelum ini terkesan dengan kehadiran syarikat e-panggilan, kini bakal berdepan robotaxi yang dikuasai teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kini, syarikat Britain, Wayve yang mendapat sokongan gergasi teknologi Nvidia dan Microsoft, menyasarkan untuk memulakan operasi robotaxi di London hujung tahun ini.
Langkah sama bakal diikuti oleh Waymo, syarikat teknologi pandu sendiri di bawah ‘payung’ Alphabet yang merupakan syarikat induk Google.
Bagaimanapun, rata-rata pemandu teksi hitam itu percaya mereka mampu menawarkan sesuatu yang tidak boleh digantikan oleh AI iaitu pengetahuan mendalam mengenai selok-belok jalan purba dan lorong zaman pertengahan di ibu kota ini.
Bagi mendapatkan lesen teksi tersebut, pemandu wajib lulus ujian tegar yang dikenali sebagai ‘The Knowledge’. Ujian berusia 161 tahun itu memerlukan calon menghafal sebanyak 25,000 nama jalan dan ribuan mercu tanda serta premis perniagaan.
Proses peperiksaan tersebut turut menguji keupayaan calon untuk menentukan laluan terpendek antara dua lokasi rawak secara spontan.
Bagi Tom Scullion yang telah memandu teksi hitam London selama lebih 30 tahun, kepakaran geografi yang meletakkan pemandu teksi tradisional jauh di hadapan aplikasi navigasi seperti Google Maps.
“Ia bagaikan membandingkan penjual sosej tepi jalan dengan cef selebriti terkemuka, Gordon Ramsay,” ujar Scullion.
Khidmat dan kebolehpercayaan pemandu teksi ini bermula sejak tahun 1865, iaitu ketika ujian ‘The Knowledge’ mula diperkenalkan kepada pemandu kereta kuda di London.
Ketika ini, bakal pemandu perlu menghadiri siri ujian lisan di pejabat Pengangkutan Untuk London (TfL), agensi yang mengawal selia sistem pengangkutan di bandar raya tersebut.
Dalam ujian itu, calon akan disoal secara rawak tentang cara untuk bergerak dari satu titik ke titik yang lain. Pegawai pemeriksa kemudian akan mengukur jarak bagi memastikan laluan yang dinyatakan adalah yang paling singkat.
Disebabkan kesukarannya, ada calon yang terpaksa menduduki ujian tersebut berpuluh-puluh kali selama bertahun-tahun. Anshu Moorjani, antara calon yang baru sahaja lulus ujian tersebut baru-baru ini, mengaku beliau mengambil masa selama lima tahun untuk berjaya. – AGENSI










