SAUDARA PENGARANG,
AGAK keterlaluan bagi Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan melabelkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai angkuh hanya kerana menolak pelawaan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Khairuddin sendiri menyatakan beberapa perkara yang kurang tepat apabila mengulas mengenai peranan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
Pada ketika itu, PH menang kerana umpanan dan tawaran bulan bintang berlebihan yang ditaburkan kepada rakyat sehingga mereka terpedaya seterusnya memberi sokongan. Aura yang ada telah dipergunakan secara salah untuk mengaburi mata pengundi sehingga PH memperoleh kemenangan palsu tapi mujur tidak dapat bertahan lama.
Memerhati rekod yang ada, sebenarnya tindak-tanduk Dr. Mahathir sendiri dilihat banyak membawa kerosakan kepada struktur politik orang Melayu.
Orang Melayu semakin diracik-racik menjadi kelompok-kelompok lebih kecil dan terpisah-pisah. Daripada UMNO, ‘terbelah’ kepada Semangat 46, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pejuang dan lain-lain.
Seperti yang sentiasa disebutkan setiap hari sejak akhir-akhir ini, matlamat bersama paling utama semua parti yang mengambil bahagian pada PRU15 ini adalah untuk menjatuhkan kerajaan UMNO buat selama-lamanya. Adakah kenyataan ini sesuai dan elok didengar? Adakah niat dan usaha seperti ini sesuatu yang wajar dan boleh diterima oleh rakyat?
Para pengundi harus menilai sikap dan pendirian pemimpin parti-parti politik di negara ini sebelum membuat keputusan di peti undi. Lihatlah dengan mata hati, akal dan fikiran yang waras dan tidak mengikut perasaan.
Rakyat boleh melihat apa yang telah mereka (parti-parti yang memerintah negara) lakukan terhadap agama, bangsa dan negara.
Pilihlah gabungan parti politik yang lebih sesuai dan paling kurang mudaratnya, menawarkan manifesto praktikal dan adil serta mempertahankan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN
CICIK LABU
Taboh Naning, Melaka